2 Briged Bertukar Pemerintahan

Pemerintah Baharu

Keupayaan pasukan 4 Divisyen Infantri (4 Div Inf) digandakan apabila Markas 2 Briged Infantri (2 Bgd Inf) yang berpangkalan di Ipoh,Perak kini diletakkan di bawah pemerintahan ketumbukan tersebut. Pertukaran ini menyaksikan 4 Div Inf kini memiliki tiga buah briged termasuk 11 Briged Infantri di Selangor dan 12 Briged Infantri di Kuala Lumpur.

Sebelum ini 2 Bgd Inf berada di bawah pemerintahan pasukan 2 Divisyen Infantri (2 Div Inf) yang bertanggunggjawab menjaga pertahanan utara dan pantai timur Semenanjung. Pertukaran formasi ini menyaksikan pasukan 2 Div Inf kini menaungi tiga buah briged iaitu 6 Briged Infantri di Kedah, 8 Briged Infantri (Kelantan) dan 30 Briged Sempadan (Perlis).

Hadir menyaksikan majlis bersejarah yang diadakan di Padang Kawad Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra, Ipoh ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Nazir Mami. Turut hadir ialah Panglima 2 Div Inf, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 4 Div Inf, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Nazir Mami (tengah) bersama Mardzuki Muhammad (kanan), Redzuan Baharuddin (kiri) dan Malek Razak (belakang) memberi tabik hormat semasa bendera 2 Div diturunkan pada majlis pertukaran pemerintahan 2 Bgd di Padang Kawad 23 RAMD, Ipoh baru-baru ini.

Terdahulu, upacara dimulakan dengan perbarisan tempur seramai 31 pegawai dan 600 anggota diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melay Diraja, Leftenan Kolonel Mohd. Safarudin Abd [email protected] Arif.  Upacara kemudian diteruskan dengan penyerahan skrol serta penurunan bendera 2 Div Inf diikuti menaikkan bendera 4 Div Inf.  Mohd. Nazir kemudian menyempurnakan pemakaian lencana taktikal baharu kepada Panglima 2 Bgd Inf, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman sebagai simbolik pertukaran.

Sejarah Pasukan

2 Bgd Inf yang ditubuhkan pada Oktober 1955 merupakan briged teras di dalam Tentera Darat dan mencatat banyak kejayaan operasi semasa memerangi pengganas komunis seperti di Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Tiga pasukan utama di dalam briged ini ialah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja (23 RAMD), Batalion Kedua Rejimen Renjer DiRaja (2 RRD) dan Batalion Kesembilan Rejimen Renjer DiRaja (9 RRD).

Pasukan 23 RAMD misalnya mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi batalion pertama Tentera Darat yang ditugaskan dalam misi tentera pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu semasa konflik di Bosnia Herzegovina.  Batalion ini bersama Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja membentuk kontinjen Malaysia Batallion (Malbat) melaksanakan tugas sebagai Pasukan Pelindung PBB (UNPROFOR) selama setahun bermula September 1993.

Penglibatan negara dalam misi PBB di negara Balkan ini hasil komitmen Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu lantang menggesa penyertaan tentera dari negara-negara Islam. Difahamkan ketika itu, sebahagian daripada anggota battalion ini telah dihantar bagi menjalani latihan penyesuaian iklim dingin di Turki sebagai persediaan ke Bosnia Herzegovina.

Pasukan 2 RRD pula ditubuhhkan pada 16 September 1963 di Ulu Tiram, Johor berikutan pembesaran dalam Tentera Darat. Setelah ditugaskan di beberapa penempatan, batalion ini berpindah ke Kem Syed Sirajuddin, Ipoh pada 11 Oktober 1991.Semasa era Insurgensi ini, 2 RRD turut terlibat dalam Operasi Gonzales pada April 1974 iaitu satu operasi besar-besaran melibatkan tiga buah briged infantri dan sebuah briged Pasukan Polis Hutan bertujuan menghapuskan ancaman Unit Penggempur Ke-5 Parti Komunis Malaya di Ulu Kinta dan Sungai Siput di Perak.Operasi ini idea Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth yang turut diceritakan dalam buku biografi beliau dengan judul sama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1988.

Batalion ke 9 Rejimen Renjer DiRaja pula asalnya dikenali sebagai Batalion Infantri Ke-14 Askar Wataniah yang ditubuhkan pada 1 April 1971 di Kem Raffaeei, Tawau, Sabah. Pasukan kemudian berpindah ke Kem Batu Uban, Pulau Pinang pada November 1975 sebelum diserapkan menjadi pasukan tetap sebagai 9 RRD pada 1 Mac 1979. Batalion ini berpindah ke Taiping pada Disember 1993.

Keyakinan

Sementara itu Mohd. Nazir ketika ditemui pemberita memberitahu, pertukaran ini sejajar dengan penstrukturan pemerintahan sedia ada bagi mengimbangi kekuatan semua divisyen. Menurut beliau, perkara itu telah diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Panglima Tentera Darat Siri 1/2019 yang diadakan pada 7 Mei lalu.

“Pertukaran formasi ini merupakan detik bersejarah bagi Tentera Darat apabila formasi 2 Bgd Inf bertukar kepada 4 Div Inf

“Ini sekali gus membolehkan 4 Div Inf yang bertanggungjawab mengawasi pertahanan di kawasan tengah termasuk Putrajaya melaksanakan tugas tempur dengan lebih baik,” ujarnya.

– InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top