5 Filem Aksi, Perang, Melayu

Tidak seperti di Hollywwod, penerbitan filem genre perang atau aksi perang di negara kita adalah kecil berbanding filem-filem lain antaranya disebabkan faktor komersial. Jika dihitung sejak era  sebelum merdeka hingga ke hari ini, genre filem aksi ketenteraan tempatan ini boleh dihitung jumlahnya.

Bercakap soal genre ini, pastinya filem Sarjan Hassan terbitan Malay Film Production pada tahun 1958 arahan seniman agung, Tan Sri P.Ramlee dan Lamberto V.Avallena disifatkan sebagai paling ‘lejen’, apatah lagi jalan ceritanya mengangkat kisah perjuangan Askar Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Dituruti filem Bukit Kepong terbitan Jins Shamsuddin Film Production pada tahun 1981 arahan seniman Jins Shamsudin. Dua lagi ialah filem tentera paling unggul sepanjang masa sudah pastinya Prebet Lapuk dan Darah Satria yang kedua-duanya arahan seniman Aziz Sattar. Justeru, Informasi Tempur mengetengahkan lima filem aksi, perang tempatan lain yang wajar ditonton.

Poster filem Mata Hari (kiri) manakala di sebelahnya filem Sarjan Hassan, kedua-duanya terbitan Malay Filem Production pada tahun 1958. (Sumber foto: The Patriot)

Mata Hari merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1958 oleh Malay Filem Production (syarikat sama menerbitkan filem Sarjan Hassan). Diarahkan oleh Ramon A. Estella dibantu oleh Omar Rojik, ia mengisahkan tentang perjuangan seorang wanita iaitu Mata Hari yang dilakonkan oleh seniwati Maria Menado mengetuai kumpulan pejuang gerila menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Ia umpama simbolik terhadap perjuangan Tun Fatimah semasa menentang pencerobohan Portugis ke atas Melaka. Mata Hari yang digambarkan pula tiada kena mengena dengan Matahari, iaitu ejen wanita talam dua muka Perancis-Jerman semasa Perang Dunia Pertama.  Mata Hari merupakan anak seorang ketua kampung yang telah menyaksikan pembunuhan ahli keluarganya manakala kaum wanita pula dilarikan tentera Jepun.

Terdapat juga konflik cinta kasih sayang dalam plot filem ini. Pada penghujung cerita, Mata Hari (Maria Menado) bersama saki-baki pejuang gerila meneruskan perjuangan mereka untuk berdepan musuh. Rentak ‘marching’ yang mengiringi pengakhiran cerita ini ialah siulan lagu Rasa Sayang sebagai lambang perjuangan anak-anak watan. Filem ini turut dibintangi Jins Shamsudin, Ahmad Mahmud, Salleh Kamil, Omar Rojik dan Rahmah Rahmat.

Sepucuk meriam Rentaka yang digunakan oleh bala tentera Kesultanan Melayu sebagai salah satu sistem artileri mudah alih. (Gambar hiasan)

Sumpah Di Bumi Merkah merupakan sebuah filem epik Melayu yang diterbitkan pada 1981.  Filem ini menampilkan aktor hebat seperti Dato’ Rahim Razali, Ahmad Yatim, Yazid Sobrani dan ramai lagi.  Filem arahan Murad Ibrahim terbitan SV Production ini mengisahkan tentang sebuah kampung yang ditewaskan musuh, Raja Ligor yang kemudian menjadi pemerintah baru. Tiga sahabat yang juga  pahlawan terbilang iaitu Panglima Tamim, Menara dan Lanang  terpaksa akur kehebatan musuh. Panglima Menara melarikan diri, Penglima Lanang mati dibunuh musuh manakala Penglima Tamim berjaya ditawan.

Jalan cerita filem ini mempunyai kaitan dengan sejarah Perang Kedah-Siam 1821-1842 apabila Raja Ligor melanggar Kota Kuala Kedah selain menggunakan latar belakang sebuah perkampungan yang mempunyai kawasan sawah padi bagi menggambarkan negeri Kedah. Memetik fakta sejarah, pada 12 November 1821, kerajaan Siam mengarahkan kerajaan Ligor yang berada di bawah pemerintahannya untuk menyerang dan menakluk Kedah.  Menariknya terdapat babak dalam filem ini yang menunjukkan penggunaan meriam yang digambarkan pada angkatan perang Siam dan juga pejuang-pejuang Melayu yang amat jarang ditampilkan pada filem-filem persilatan Melayu.

Filem Raja Laut arahan Z.Lokman yang juga bekas anggota TLDM dengan plot ringkas tetapi telah mengangkat imej TLDM di layar perak.

Raja Laut diterbitkan pada tahun 1982 terbitan syarikat MASS Communications menampilkan Mokhtaruddin, Ed Osmera, S. Zamila, Sukarni Jaafar dan ramai lagi. Filem berkenaan arahan pengarah Z. Lokman yang pernah pernah berkhidmat dalam TLDM selama 13 tahun (sekitar 1960an-1970an). Walaupun cenderung mengarah filem komedi, Raja Laut sebagai buah tangan Z. Lokman boleh dilihat sebagai intepretasi beliau kepada pasukan yang pernah disertainya. Dengan plot yang mudah difahami, Raja Laut mengisahkan tentang kumpulan lanun yang mengganas di laut mengancam para pelaut dengan tindakan jenayah.

Kegiatan licik lanun diketuai Mokhtaruddin ini sukar dihidu polis kerana dia berlagak sebagai orang kaya. Konflik timbul apabila adik perempuan seorang jurumudi TLDM, Zul yang dilakonkan Ed Osmera menjadi teman wanita Raja Laut. Ed Osmera juga berlakon dalam filem Prebet Lapuk sebagai Leftenan Zulkifli (kebetulan nama kedua-dua watak serupa). Filem ini menjalani penggambaran di sekitar Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura dan Johor. Semasa ditayangkan, filem Raja Laut yang menampilkan kapal peronda KD Sundang boleh dikatakan ‘hebat’ apabila jarang-jarang sekali aset TLDM ditonjolkan dalam sebuah naskhah tempatan. Turut ditampilkan ialah aksi mengejar bot lanun manakala kru kapal KD Sundang turut melepaskan tembakan meriam Bofors 40/70 semasa ‘opening’ filem ini. Pada babak akhir cerita pula menunjukkan aksi kumpulan penggeledahan kapal peronda ini yang menjejaki ke kawasan persembunyian lanun serta babak bertempur sehingga musuh akhirnya tumpas. Kapal KD Sundang yang dilucut tauliah pada tahun 2005 kemudian diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Terbaru, kapal ronda pesisir kedua TLDM yang dibina di China telah dinamakan dengan nama sama sebagai simbol kepahlawanan Melayu.

Persembahan pentomin pertempuran Operasi Gubir II yang dipersembahkan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun 2016. (Gambar hiasan)

Ke Medan Jaya diterbitkan oleh Perbadanan Filem Nasional (Finas) pada tahun 1983. Filem ini merupakan arahan A. Aziz Wok yang juga bertindak selaku penulis cerita dan dibantu Raja Danish. Filem ini bukanlah bercorak ketenteraan sepenuhnya, tetapi mengisahkan tentang kehidupan seorang pemuda anak yatim, Sham, dilakonkan Dharman Harun Al-Rashid yang jatuh cinta dengan anak majikan ibunya, Rosnah Abdul Rahman. Filem ini sarat dengan nilai-nilai murni, kekeluargaan, kasih sayang dan cintakan tanah air di mana hampir 60 peratus penceritaanya ialah mengenai kisah percintaan. Sham kemudian diterima menyertai tentera sebagai seorang pegawai. Dalam satu operasi, pasukan yang diketuai beliau telah diserang hendap pengganas komunis dan semasa menyelamatkan salah seorang anggotanya, dia telah ditembak. Babak pertempuran dalam durasi 4 minit ini walaupun pendek tetapi ‘memberi gambaran’ bagaimana keadaan operasi semasa era Insurgensi kerana filem ini diterbitkan semasa negara masih lagi berhadapan dengan ancaman komunis. Pada babak-babak akhir, berita mengenai kecederaan Sham telah disampaikan oleh seorang pegawai tentera. Turut membintangi filem ini ialah Hail Amir, Dato’ S. Roomai Nor, Dato’ Mahmud Jun, Datin Ulmi Kalthum dan Noormadiah.

Kulit muka filem Wira Angkasa yang mengangkat kisah juruterbang TUDM.

Wira Angkasa diterbitkan oleh JD Film Production pada 1987 di bawah arahan seniman Aziz Jaafar. Dilabel sebagai filem Top Gun versi Melayu, tetapi percaturan penerbitnya, Allahyarhamah Julie Dahlan wajar diberi pujian apabila memberi peluang TUDM digambar di layar perak. Ini kerana selepas Wira Angkasa, belum ada mana-mana pengarah yang mengikut jejak serupa untuk mengambil peluang menonjolkan sisi megah TUDM ketika ini. Wira Angkasa menonjolkan aset-aset TUDM ketika itu seperti pesawat F-5E, A4 Skyhawak dan tidak ketinggalan pasukan combat SAR Handau.

Menampilkan aktor Sabree Fadzil, Dato’ Yusof Haslam, Aznah Hamid, Noreen Noor dan ramai lagi. Ia mengisahkan Iskandar Muhammad (Sabree Fadzil) yang merupakan anak seorang pesawah bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang juruterbang selepas tamat pengajian. Manakala Redzuan Mazlan (Yusof Haslam) adalah anak seorang jeneral bersara TUDM yang hidup bersosial. Selepas kejadian kemalangan yang menyebabkan Redzuan mengubah pendiriannya dan mengikuti kemahuan ayahnya menyertai TUDM. Walaupun pemilihan aktor Yusoff Haslam dikritik penonton ketika itu kerana terlalu tua untuk melakonkan watak pegawai muda TUDM, namun secara keseluruhannya filem Wira Angkasa boleh diberikan pujian.

(Nota: Stesen televisyen tempatan wajar menayangkan filem-filem ini sekali gus memberitahu kepada khalayak bahawa kita tidak kekurangan filem bercorak patriotik dan bukan hanya sekadar mengulang tayang filem Sarjan Hassan atau Bukit Kepong sahaja pada musim bulan kemerdekaan).

-InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top