AS terpaksa berundur elak malu

Sabtu lalu, Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian bersejarah dengan pihak Taliban yang bakal menyaksikan pengunduran sepenuhnya tentera negara itu dari Afghanistan. Perkembangan ini memuktamadkan pendirian Presiden Donald Trump untuk membawa keluar AS daripada kemelut yang berpanjangan.

Pihak Taliban diwakili Mullah Abdul Ghani Barada menandatangani perjanjian itu manakala Ketua Perunding Washington yang juga Duta Khas AS ke Afghanistan, Zalmay Khalilzad menandatangani perjanjian bersama itu di sebuah hotel di Doha, Qatar.

Turut hadir ialah Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi serta delegasi menteri muda kerajaan Afghanistan.

Doha menempatkan pejabat rasmi pihak Taliban sejak 2013 yang juga merupakan lokasi pertemuan bagi membincangkan pelan damai dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk AS.

Tidak sukar untuk meneka mengapa Washington akhirnya mengambil keputusan untuk berdamai setelah terheret dalam konflik selama 18 tahun dan paling lama berbanding Perang Vietnam. Perang di Indochina menyaksikan 58,220 orang tenteranya terkorban.

Sehingga kini korban tentera AS di Afghanistan berjumlah 2,400 orang manakala lebih 20,000 tercedera. Sepanjang tempoh itu juga kira-kira 65,000 tentera telah dihantar bertugas. Konflik Afghanistan umpama luka parah bagi AS kerana tindakan ketenteraan bersama kerajaan negara itu masih gagal melemahkan Taliban yang ketika ini menguasai kira-kira 70 peratus Afghanistan.

Tindakan ini juga berkait dengan politik dalaman AS di mana Presiden Trump perlu mempertaruhkan nasib untuk pemilihan penggal kedua sebagai Presiden. Ini kerana salah satu polisi beliau ialah untuk mbawa keluar tentera AS dari sana.

Justeru, perjanjian damai ini bakal menyaksikan pengunduran kira-kira 13,000 tentera AS secara berperingkat-peringkat. Selain itu terdapat 14,000 tentera dari 39 negara yang menyertai perang termasuk melatih tentera dan polis Afghanistan.

Memilih cara ini, Trump dilihat telah menyelamatkan maruah AS untuk keluar secara terhormat dari bumi Afghanistan berbanding jika terus berperang dalam konflik yang sejak awal-awal lagi tidak berpihak kepada Washington.

Tanpa rundingan dengan pihak Taliban pula, penarikan keluar tentera AS kelihatan seolah-olah Washington tewas, manakala strategi perang Trump pula ialah tidak mahu pasukan tenteranya diberi gambaran sebegitu.

Setelah ancaman Al-Qaeda berjaya ditamatkan, maka AS perlu untuk melihat semula penglibatan dalam konflik di Afghanistan walau pun jujurnya tiada jaminan kemungkinan wujud pula kumpulan-kumpulan militan lain pada masa hadapan.

Pada masa sama, perbalahan dalam kerajaan Kabul juga tidak berkesudahan selain hubungan antara Presiden, Ashraf Ghani Ahmadzai yang merupakan etnik Pashtun dengan Ketua Eksekutif negara, Abdullah Abdullah daripada etnik Tajikistan.

Sebanyak AS$2 trilion dibelanjakan sepanjang konflik ini di mana kos operasi ketenteraan sahaja kira-kira AS$1.5 trilion. Kos perang yang dibiayai menerusi wang pinjaman juga menyaksikan sebanyak AS$600 bilion terpaksa dibayar Washington sebagai kadar faedah sehingga tahun 2023.

Perbelanjaan berjumlah AS$1.4 trilion juga dibelanjakan bagi kos perubatan dan hilang upaya bekas-bekas tentera sepanjang terlibat dalam perang memerangi keganasan yang dimulakan bekas Presiden George W. Bush di Afghanistan dan Iraq sejak Oktober 2001.

Bagi pihak Taliban, perjanjian damai ini merupakan kemenangan bukan sahaja bagi mereka tetapi juga rakyat yang menolak campurtangan kuasa luar. AS menjadi negara kuasa ketiga melangkah keluar selepas Soviet pada tahun 1989 dan sebelum itu Britain.

Konflik Afghanistan juga mengheret AS dalam taktik peperangan tidak semteri selain kelebihan pada bentuk muka bumi di pihak Taliban menyebabkan kempen ketenteraan gagal walaupun ia melibatkan aset perang paling canggih. Keadaan ini sama seperti yang dialami pihak Soviet dahulu.

Pengaruh Taliban yang menguasai Afghanistan selama lima tahun selepas perang saudara antara tahun 1992-1996 khususnya dalam kalangan etnik Pashtun amat besar. Mereka juga amat dihormati. Baki 30 peratus lagi pengaruh dikuasai pihak Pakatan Utara yang merupakan etnik Tajikistan.

Susulan daripada perjanjian itu juga akan membuka ruang dialog antara Taliban dan kerajaan Kabul. Bagaimana pun, sama ada pihak Taliban boleh mengotakan janji untuk mengekalkan keamanan selepas pengunduran tentera AS sukar dijangka.

(Artikel ini turut disiarkan dalam kolum Vanguard, akhbar Sinar Harian bertarikh Jumaat,  6 Mac 2020)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top