ATM bersedia jadi angkatan masa hadapan

“Kertas Putih Pertahanan juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keutamaan rancangan masa hadapan pertahanan Negara dengan mengambil kira trend-trend global yang terkini agar sejajar dengan realiti semasa serta cabaran yang menanti di masa depan.”

Petikan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa sambutan Hari Malaysia 2019

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu bersedia untuk menjadi angkatan masa hadapan sejajar dengan persediaan menghadapi kemunculan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) termasuk ancaman baharu seperti serangan siber elektromagnetik dan angkasa.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, justeru keperluan memiliki angkatan tentera yang moden, versatil dan dinamik pastinya sangat mustahak untuk diadakan kerana dimensi baharu itu turut mengubah lanskap keselamata global.

Menurut beliau, atas dasar itu maka inisiatif pembangunan Kertas Putih Pertahanan oleh pihak kepimpinan di Kementerian Pertahanan dilihat penting sebagai dokumen rasmi yang mencakupi aspek pertahanan secara holistik.

“Kita melihat negara kuasa dunia kini berlumba-lumba untuk menjuarai inovasi bagi mempertingkatkan kuasa tempur melalui keupayaan persenjataan moden berasaskan teknologi data, teknologi kepintaran buatan, perkomputeran awan, robotik termasuklah penciptaan ‘autonomous systems’ seperti teknologi UAV dan ‘Drone swarm’.

“Sehubungan itu, kita menaruh keyakinan bahawa Kertas Putih Pertahanan yang bakal dibentangkan di Parlimen tidak lama lag, akan memberi manfaat besar kepada ATM menerusi perubahan dan pembaharuan secara lonjakan berganda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perbarisan Hari ATM ke-86 di Padang Kawad KD Pelandok di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

Bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’, perbarisan berkonsepkan ‘tempur’ itu disertai 54 pegawai dan 868 anggota lain-lain pangkat serta melibatkan 12 kontinjen termasuk tiga kontinjen wanita daripada setiap perkhidmatan ATM.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima TLDM, Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Dalam ucapannya, Zulkifli turut mengingatkan warga ATM agar bersikap lebih eksklusif dalam menjaga sebarang maklumat yang melibatkan organisasi itu terutama melalui media sosial agar tidak menimbulkan kritikan serta menggugat keyakinan rakyat.

“Anggapan sesetengah pihak bahawa ATM cenderung kepada ketirisan atau pembaziran wang rakyat juha adalah satu pemikiran dangkal yang didasari oleh sikap tidak mengenang budi.

“Namun demikian, saya menyeru rakan seperjuangan sekalian supaya jangan gundah gulana, yakinlah bahawa rakyat secara majmuknya lebih arif menilai jasa bakti kita selama ini,” ujar beliau.

“Di kesempatan ini,  saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM dan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan,  para veteran,  ahli keluarga warga tentera serta seluruh rakyat Malaysia atas kepercayaan, dorongan serta sokongan yang berterusan kepada ATM.  Penghargaan yang sama, saya tujukan juga kepada PDRM, agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dan jabatan-jabatan kerajaan, media massa serta semua pihak.”

Sementara itu pada majlis berkenaan, Zulkifli turut menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera 2019 yang dimenangi oleh pasukan 10 Briged Para bagi kategori Tentera Darat, KD Kasturi (TLDM) dan Pangkalan Udara Kuantan (TUDM).

 

Turut menerima anugerah ialah Tim Bravo 21 Grup Gerak Khas yang muncul tim terbaik dan johan keseluruhan pada Pertandingan Ujian Kepakaran Pasukan Khas ATM 2019 bagi menerima Piala Adnan Saidi.

Acara Perbarisan Hari ATM ke-86 ini turut menyaksikan pelantikan Sarjan Mejar Rejimen ATM dan Sarjan Mejar Rejimen Istiadat ATM. Keperluan mewujudkan dua jawatan baru ini berasaskan kepada keperluan semasa operasi dan pengurusan di dalam Markas ATM. Matlamat utama adalah memperkemas modul pengurusan insan anggota lain-lain pangkat agar dapat diuruskan dengan sempurna dan efisen.

(Kredit foto: BTDM)

Sarjan Mejar Rejimen Istiadat ATM

PW1 PAP (GI) Saiful Hisyam Abdul Azis

Anak kelahiran Melaka berusia 41 tahun ini memulakan perkhidmatan di KD Serampang pada tahun 1998 dalam Cawangan Pelaut. Beliau telah berkhidmat di beberapa unit dan kapal antaranya KD Pelandok, KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Malaya dan kini sedang berkhidmat di Markas Tentera Laut Sel Istiadat.

(Kredit foto: BTDM)

Sarjan Mejar Rejimen Angkatan Tentera Malaysia.

PW 1 Hayazi Abdul Aziz

Berusia 45 tahun, anak kelahiran Alor Setar Kedah ini memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Seksyen di Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1997 sehingga dilantik sebagai Kompeni Sarjan Mejar pada tahun 2004. Memegang jawatan Sarjan Mejar Rejimen di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 2006 dan seterusnya dilantik memegang jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Jabatan Arah Infantri pada tahun 2014.

-InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top