Bukan senang jadi Paskal

Sebelum mengikuti kursus asas komando di United Kingdom, Nasaruddin Othman dihantar ke Surabaya bagi mengikuti kursus asas komando bawah kendalian Komando Pasukan Katak (Kopaska) Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) selama setahun pada 1978.

Laksamana Madya (B) Nasaruddin Othman

Menceritakan detik ketika awal penubuhan Paskal, kata Nasaruddin Othman, pelbagai dugaan dan seksaan terpaksa ditempuhi bagi mempelajari modul latihan mereka sebelum dapat diguna pakai sebagai modul latihan asas Paskal yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Oktober 1982.

“Saya masih ingat satu hari, ketika perjalanan untuk latihan berenang dan bergerak dalam satu baris, kedudukan dan pergerakan kami agak ‘terkeluar’ sedikit. Tiba-tiba, satu tendangan ‘flying kick’ ‘hinggap’ tepat pada dada saya dan kawan-kawan. Kami kena tendang dan tumbukan yang datangnya dari pelbagai arah.

Generasi awal Paskal menerima latihan lasak dengan bimbingan para jurulatih Kopaska di Surabaya sekali gus menyaksikan kerjasama ketenteraan dua negara berjiran.

“Masa tu dah terfikir, apakah sebenarnya status komando itu kerana pegawai juga turut ‘dilanyak’? Lama kelamaan, barulah saya memahami bahawa seorang pelatih asas komando akan dilayan sama rata tanpa mengira pangkat seseorang dan ia memang memerlukan daya ketahanan fizikal serta mental yang kuat bagi berdepan misi sukar nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Anak kelahiran Kampung Teluk Bakong, Bota, Perak ini mula mengikuti kursus pegawai kadet di Sebatang Karah, Port Dickson pada awal tahun 70-an sebelum dihantar ke Woodlands, Singapura seterusnya meneruskan kerjaya sebagai pegawai komando.

Tambah Nasaruddin yang pernah menjadi pegawai pemerintah (CO) Paskal semasa berpangkat Kepten sekitar tahun 2001, keperitan mengikuti kursus asas komando Kopaska tidak terhenti di situ.

Menurutnya, pelatih turut disuruh berenang merentasi Pulau Madura dan Surabaya yang sibuk dengan laluan kapal serta mempunyai ‘perselisihan ombak.

“Kami ‘dilepaskan’ secara bergandingan dan diikat antara satu sama lain serta perlu tahu laluan yang perlu dilalui Jika terlepas dari laluan tersebut, nahas menunggu kami dengan ombak kuat ketika itu.

“Ada satu ketika saya berenang sekuat mungkin berhampiran ‘pothhole’ kapal, tetapi tidak bergerak lebih setengah jam.

“Sengsaranya bukan takat situ sahaja. Habis berenang kami perlu melalui jambatan Sungai Kalimas di Surabaya yang penuh dengan najis manusia pula. Bayangkanlah jika terpaksa melalui sehingga enam jambatan,” jelas beliau.

Nasaruddin (kanan) semasa berpangkat Leftenan Komander memberi penerangan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Mahathir Mohamad semasa lawatan ke sebuah pangkalan TLDM sekitar tahun 80-an.

Semasa bergelar CO Paskal, Nasaruddin membawa kelainan dalam pemerintahannya yang ‘mesra media’  apabila mula membuka pintu kepada para pemberita untuk memberikan liputan terhadap pasukan itu. Antara lain katanya ketika itu sepertimana diceritakan seorang rakan media,

“Kita perlu memberitahu kepada masyarakat apa yang kita ada agar mereka yang di luar tahu peranan Paskal.

“Liputan media yang dikawal adalah baik, jadi tidak perlu untuk kita sorok atau tutup pintu pada pihak media kerana mereka ada peranan untuk menulis perkara-perkara yang difikirkan perlu.”

Sikap keterbukaan Nasaruddin ini juga disebabkan penugasan meluas beliau termasuk pada peringkat antarabangsa bersama-sama pasukan tentera dunia lain.

Dalam perkembangan lain, Nasaruddin berkata, Paskal juga terpaksa mencari idea dan mencipta sendiri peralatan daripada bahan-bahan terpakai untuk kegunaan unit itu sama ada untuk latihan atau operasi.

“Nak tubuhkan Paskal bukan senang. Kami gunakan buluh dan tangga jika mahu memanjat kapal. Jika ada latihan terutama membabitkan negara luar pun kami banyak pinjam barang milik Tentera Darat seperti senjata Carl Gustav dan payung terjun milik Gerup Gerak Khas (GGK).

“Sampai pada satu peringkat kami membuat sendiri model senjata berat daripada besi untuk kegunaan latihan selam tempur kerana tidak tahu kemampuan serta ketahanan senjata yang ada. Tetapi sekarang Paskal telah berubah dan banyak transformasi persenjataan dilakukan,” katanya.

Gugusan Semarang Peninjau semasa awal pembinaanya menempatkan tim Paskal yang turut disertai Nassaruddin. (Foto Arkib TLDM)

Sewaktu dalam perkhidmatan, beliau juga turut terlibat dalam pelbagai misi dan operasi antaranya Operasi (Ops) Gonzales, Ops Daulat dan beberapa misi sulit serta penugasan di Gugusan Semarang Peninjau (GSP).

“Bayangkan tinggal di GSP yang hanyalah sebuah pulau dan tidak mempunyai apa-apa kemudahan. Tidur hanya berbumbungkan langit. Kiri dan kanan pula lautan. Keadaan bertambah sayu sebaik melihat helikopter yang menghantar kami berlalu pergi,” jelas beliau.

Menurutnya, Paskal turut beroperasi bersama GGK dan mempelajari teknik operasi medan bersama unit berkenaan ketika penglibatan dalam Ops Gonzales.

Wajah-wajah pegawai dan anggota TLDM khususnya Paskal yang mengorbankan ‘masa’ mereka mengawasi kedaulatan negara di Gugusan Semarang Peninjau. (Foto Arkib TLDM)

Kata Nasaruddin, operasi ketika itu adalah menjaga keselamatan bagi pembinaan laluan lebuh raya dari pekan Lawin sehingga Tasik Banding, Perak.

“Dalam operasi itu, kami berjaya mengesan beberapa barangan milik komunis seperti wayar dan tong drum serta najis mereka,” ujarnya.

Selepas lebih 20 tahun berkhidmat, Nasaruddin yang mendirikan rumah tangga bersama Datin Siti Aishah Mohd. Sidek dan mempunyai lima orang anak kini puas serta berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas pelbagai peluang yang diberikan.

Apa yang membanggakan, semua anaknya kini berjaya di menara gading dan menuntut di universiti dalam serta luar negara. Beliau juga kini merupakan Presiden Persatuan Veteran Paskal yang aktif mengumpul semua bekas anggota unit khas tersebut.

Tutur bekas Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia yang bersara dengan pangkat Laksmana Madya ini, Paskal juga kini mempunyai keupayaan setanding dengan pasukan khas lain dari luar negara seperti Navy Seal dan Special Air Service (SAS) selepas menggunakan modul latihan asas dan latihan lanjutan komando dari negara lain.

-InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top