Cabaran keselamatan semasa Covid-19

Oleh: Fakarul Naim

Sudah hampir dua bulan kita melalui pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha menangani wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu. Kini, kita memasuki PKP fasa keempat dan kebarangkalian untuk pematuhan ini dilanjutkan mungkin ada jika kita tidak waspada.

Berikutan pematuhan tersebut, soal keselamatan terus dipertingkatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari semasa ke semasa walaupun masih ada segelintir orang awam yang ingkar arahan agar menghadkan pergerakan.

Seramai 46,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara ditugaskan untuk membuat sekatan jalan raya, rondaan bermotosikal, pemeriksaan di premis kunjungan orang ramai serta menghebahkan maklumat berkaitan pelaksanaan PKP.

Menurut statistik tangkapan individu ingkar PKP dikeluarkan oleh PDRM, sebanyak 17,335 orang telah ditahan sejak hari pertama sehingga 21 April lalu. Ini tidak termasuk dengan tangkapan kes-kes jenayah lain dan pada sama rondaan pencegahan jenayah turut dilakukan sama ada di bandar atau pun desa.

Ini membuktikan cabaran pasukan keselamatan pada saat ini amat mencabar kerana mereka dituntut memberikan komitmen yang tinggi. Pada masa sama, sokongan daripada rakyat juga perlu sebagai bekalan semangat termasuklah daripada pucuk pimpinan pasukan dan para agamawan.

Bukan itu sahaja di darat tetapi di perairan negara juga tugas ini disempurnakan oleh wira-wira negara. Kolaborasi ini yang terdiri daripada warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut bekerja keras mengawasi perairan negara.

Pelaksanaan tugas ketika ini lebih mencabar kerana selain kawalan keselamatan, mereka juga perlu memastikan perairan negara ini tidak dibolosi pendatang asing yang ingin mengambil kesempatan berikutan wabak Covid-19.

Meskipun menghadapi pelbagai halangan, namun demi negara tanggungbawa tetap digalas sebagai penguatkuasa undang-undang.

Sebagai contoh, insiden baru-baru ini apabila pesawat rondaan C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan sebuah bot dinaiki pendatang asing Rohingya dekat perairan Pulau Langkawi yang cuba menceroboh perairan negara.

Bot berkenaan kemudian dipintas kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diiringi keluar ke perairan antarabangsa. Bagaimanapun, tindakan pasukan keselamatan ini mendapatan kritikan daripada pihak pertubuhan hak asasi manusia selain beberapa tokoh politik.

Sebaliknya, pasukan keselamatan telah melaksanakan tanggungjawab mereka iaitu untuk melindungi keselamatan negara iaitu mengusir bot membawa pendatang asing.

Beralih semula di bandar, tugas menjaga ketenteraman awam masih menjadi tanggungjawab PDRM. Sebagai benteng pertahanan negara pula, menjadi tanggungjawab ATM untuk membantu pihak berkuasa awam dalam waktu sukar ketika ini.

Tidak ketinggalan, peranan sama turut disumbangkan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk sama-sama membantu memutuskan rantaian Covid-19. Ini kerana peranan anggota sukarelawan tidak boleh dipandang sebelah mata.

Seperti yang dijelaskan sebelumnya, cabaran pihak PDRM iaitu mengekang jenayah pada waktu PKP. Sepanjang fasa pertama PKP, difahamkan kadar indeks jenayah didapati menurun sebanyak 70 peratus di seluruh negara sejak pelaksanaan PKP mula berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Bagaimanapun jenayah yang ketara dilakukan adalah melibatkan kes pecah rumah dan curi motosikal.

Selain jenayah berbentuk fizikal, satu lagi trend kes jenayah yang perlu diberi perhatian ialah penipuan siber. Di Selangor misalnya, sepanjang 17 Mac hingga 15 April lalu ia menunjukkan peningkatan sebanyak 53.80 peratus atau 283 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Antaranya ialah penipuan atas talian iaitu sebanyak 26 kes, penipuan pinjaman wang tidak wujud (6) dan penipuan E-Dagang (89).

Jelaslah bahawa PDRM tidak pernah terlepas pandang perlakuan jenayah walaupun ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19, malah melipatgandakan lagi gerakan tersebut.

Sebagai ahli masyarakat pula, menjadi tanggungjawab kita untuk memudahkan tugas pihak berkuasa termasuk menjadi mata dan telinga sekiranya menghidu adanya jenayah berlaku.

Sama-sama kita berdoa semoga PKP selesai, wabak Covid-19 nanti berjaya diperangi dan kehidupan kita kembali seperti sediakala.

(Fakarul Naim seorang pemuda yang meminati bidang penulisan kreatif dan sering menulis dalam laman Facebooknya menggunakan nama Naim Hondo)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top