Carl Gustaf : Senjata pemusnah padu infantri

Kuasa Tembakan

Memiliki keupayaan tempur yang terbaik dalam menghadapi apa jua situasi semasa pertempuran sudah semestinya menjadi idaman mana-mana pasukan infantri. Bagaimanapun, konteks infantri yang perlu mengutamakan terhadap aspek mobiliti menyaksikan aset persenjataan yang perlu dibawa bersama-sama bermula daripada unit kecil pada peringkat seksyen adalah yang benar-benar diperlukan.

Bagi Tentera Darat (TD) misalnya, konsep Batalion Infantri Standard (BIS) yang mula diaplikasikan sejak 1999 telah memberi tumpuan terhadap aspek kuasa tembakan, apabila tunjang bagi sesebuah seksyen infantri ialah dua laras senjata pelancar grened RPG-7, selaras pelancar grened berganda (MGL) selain selaras mesingan Minini 5.56mm. Manakala penolong ketua seksyen masih lagi dibekalkan dengan senjata M-16 M203 dengan pelancar grened 40mm. Bagaimanapun, evolusi terhadap pemilikan senjata anti armor bagi kegunaan peringkat seksyen dan platun dalam TD telah pun bermula lebih awal apabila diperkenalkan pada era 1970an menerusi pemilihan terhadap senjata Carl Gustaf M2 84mm. Batalion-batalion infantri TD yang ketika itu secara beransur-ansur mula didedahkan terhadap konsep peperangan konvensional (CW) termasuk ancaman menghadapi pertempuran dengan kereta kebal atau kenderaan armor musuh berikutan situasi di IndoChina agar membiasakan diri dengan penggunaan senjata berkenaan.

Dua anggota Para Britain dalam latihan pengendalian Carl Gustav. Kelihatan belakang tiub pelancar yang terbuka sementara anggota kedua memasukkan peluru ke dalam laras. Anggota penembak pula berada dalam kedudukan bersedia dengan mata berada pada pejera dan jari tangan kanan di luar picu senjata untuk menantikan arahan menembak.

Bagi kalangan anggota infantri semasa itu, Carl Gustaf M2 dengan berat 14 kilogram bukanlah senjata yang disukai, malah tugasan untuk memikul senjata berkenaan akan dianggap sebagai beban.  Apatah lagi, kru atau anggota yang ditugaskan memikul senjata ini semasa latihan atau operasi perlu membawa bersama alat pencuci serta lain-lain perkakasan sokongan yang terisi kemas di dalam beg kanvas. Tidak cukup dengan itu, sekurang-kurangya satu kebuk kanister plastik berisi dua peluru latihan atau hanya kanister kosong turut dibawa bersama, lantas menambahkan lagi beban kepada si pembawa. Sudahlah senjata peribadi perlu juga dibawa, tugas memikul Carl Gustaf sehingga tamat latihan atau operasi memang bukan tanggungjawab mudah. Bagaimanapun, senjata yang dianggap beban ini bertukar menjadi penyelamat medan tempur sebaik melihat keberkesanan tembakannya ke sasaran pada jarak 400 meter.

Sama ada di lapangsasar Kidney di Kem Asahan, Melaka (sebelum wujudnya Kem Gemas hari ini), lapangsasar terbuka Kem Hobart di Gurun, Kedah atau lapangsasar di Kem Pulada, Johor, tembakan padu Carl Gustaf yang memuntahkan peluru jenis letupan kuat (HE) atau letupan kuat anti kereta kebal (HEAT) tepat mengenai badan kereta perisai bukan calang-calang. Asap, gegar letupan dan desingan tembakan yang dirasai oleh penembak dan anggota pengisi peluru ketika itu mengiyakan keputusan pemikir TD ketika itu memilih Carl Gustaf sebagai senjata anti armor bagi infantri.Fungsi serba guna Carl Gustaf juga menyaksikan senjata ini boleh menggunakan varias peluru mengikut keperluan operasi misalnya melepaskan tembakan peluru asap sebagai tabir perlindungan, peluru suar dan peluru letupan bermasa.

Dua anggota 18 RAMD Para semasa melakukan latihan pengendalian dan tembakan senjata Carl Gustav di Pulada, Johor. Perhatikan bagaimana anggota membawa senjata berkenaan manakala pembantunya membawa canister peluru. (Sumber foto. BTDM)

Carl Gustav M2 dikelaskan sebagai senjata bantuan kompeni dan akan di tempatkan pada platun-platun tertentu mengikut keperluan semasa melaksanakan mana-mana fasa dalam CW. Tim Carl Gustaf juga boleh di tempatkan di platun semasa pertahanan bagi tujuan menghalang atau kemungkinan adanya ancaman armor musuh. Jika perlu, satu atau dua tim Carl Gustaf juga boleh diatur gerak jauh ke hadapan bagi mematahkan, menghalang atau melambat-lambatkan kemaraan kenderaan armor musuh termasuklah melancarkan serang hendap. Daripada aspek taktikal, kebiasaanya dua tim Carl Gustaf akan ditugaskan secara bersama-sama bagi memberi tembakan padu selain boleh bertindak sebagai pelindung sekiranya tim yang satu lagi tersasar tembaka atau sasaran tidak musnah sepenuhnya.

Pelancar grened tanpa panduan

Penyelidikan untuk mencari sejenis senjata yang mampu memusnahkan ancaman kereta kebal telahpun dilakukan pada tahun 1920an oleh seorang ahli sains roket, Robert H. Goddard. Ianya adalah satu sistem mudah yang mengandungi tiub pelancar dan peluru roket yang distabilkan oleh sirip pada bahagian belakang. Sistem yang diguna pakai adalah konsep tanpa rekoil atau recoilles principle. Sehingga hari ini, konsep sama telah digunakan bagi kesemua sistem pelancar roket atau grened bagi pasukan infantri.  Berbeza dengan sistem meriam biasa yang menyerap hentakan rekoil tembakan dengan sistem spring dan hidraulik, sebaliknya sistem tanpa rekoil akan membebaskan tindak balas aksi-reaksi ke belakang dalam bentuk tekanan, haba dan asap. Pengendali yang berada di tengah-tengah senjata tidak akan merasai sebarang tekanan memandangkan proses fizik aksi-reaksi (aksi peluncuran roket ke hadapan, reaksi – semburan haba, tekanan dan asap ke belakang) berada dalam keadaan seimbang. Senjata anti kereta kebal Bazooka yang diperkenalkan pada 1942 menggunakan prinsip tembakan ini. Bazooka yang menggunakan peluru berkaliber 60mm dengan berat roket 1.5kg mampu menujah ke sasaran sehingga pada jarak 365 meter. Pihak Jerman pula membangunkan sistem anti kereta kebal Panzerschreck yang merupakan sistem hampir sama dengan Bazooka tetapi menggunakan peluru kaliber 89mm, roket seberat 3.5kg dengan jarak sasaran 150 meter.

Perlumbaan untuk membina sistem senjata anti kereta kebal mula memuncak selepas Perang Dunia Kedua di Eropah diikuti semasa era Perang Dingin berikutan kebimbangan terhadap ancaman kemungkinan berlakunya peperangan kereta kebal dari Soviet. Antara yang terbaik ialah sistem Carl Gustaf yang diperkenalkan oleh Sweden pada 1948. Uniknya, Carl Gustaf sebenarnya adalah sistem meriam tanpa rekoil (recoilles gun) yang menggunakan sistem peluru mirip kepada sistem meriam, lengkap dengan kelongsong, tidak mempunyai ciri-ciri roket dengan bahan bakar berada di dalam badan roket yang meluncur ke sasaran.  Peluru diisi melalui belakang senjata. Terdapat dua tuil berbentuk bulat pada bahagian belakang senjata, di mana anggota pengisi peluru perlu menolak tuil paling kanan bagi membuka bahagian pengisi (loader) untuk memasukkan peluru sebelum menutup dan mengunci semula tuil. Peluru yang sudah dimasukkan ke dalam laras berada dalam keadaan sedia untuk ditembak, manakala penembak pula hanya perlu membidik ke sasaran (selepas membuka kunci selamat) sebelum menekan picu. Selepas menembak, anggota pengisi peluru akan menolak semula tuil yang paling kanan untuk membuka bahagian pengisi dan menekan sekali lagi tuil yang sama untuk menolak sedikit kelongsong keluar ke belakang sebelum ditarik dengan tangan.

Selaras pelancar Carl Gustav dengan kedudukan tiub belakang terbuka manakala dua canister peluru terletak di bawah.

Bagaimanapun, sifat mobiliti senjata ini selain tidak begitu berat dan boleh dipikul di atas bahu seperti pelancar roket manakala impak letupan ke atas sasaran yang begitu baik menyaksikan senjata ini menjadi pilihan banyak pasukan infantri di medan tempur. Definasi berat bergantung kepada pengguna kerana jika anggota tentera negara berat, saiz dan berat Carl Gustaf M2 pada kadar 14kg bukan sesuatu yang sukar. Carl Gustaf dikenali sebagai satu sistem anti armor pelbagai dan dari segi taktik infantri pula, senjata ini boleh diatur gerakkan mengikut tugasan iaitu sebagai senjata anti  armor, pemusnah halangan atau pemusnah bunker.

Carl Gustaf dibangunkan oleh dua pereka cipta iaitu Hugo Abramson dan Harald Jentzen yang ketika itu bertugas di Pentadbiran Persenjataan Diraja Sweden. Seperti dinyatakan sebelum ini, senjata ini mula diperkenalkan pada 1948 sebagai 8.4cm Granatgevar (Grg m/48) aau raifal grened yang ketika itu berada dalam kelas sama seperti Bazooka, PIAT (British) dan Panzerscreck (Jerman). Bagaimanapun, bezanya sistem Sweden ini menggunakan laras berpilin bertujuan memberi kestabilan kepada peluru semasa menujah keluar dari laras. Manakala konsep tanpa rekoil pada senjata ini membolehkan Carl Gustav menggunakan bahan letupan yang lebih padu dan berkuasa pada kadar halaju pada laras iaitu 290 meter per saat berbanding senjata lain misalnya Panzerschreck (105 meter per saat) dan Bazooka (76 meter per saaat). Hasilnya ialah tembakan yang lebih tepat dengan impak letupan ke atas sasaran yang hebat. Carl Gustaf boleh menembak sasaran statik pada jarak sehingga 700 meter manakala sasaran bergerak pada had 400 meter. Carl Gustaf pantas mendapat tempat dalam kalangan pasukan tentera di Eropah serta menjadi senjata anti kereta kebal pada peringkat seksyen dan platun infantri.  Bermula dengan versi terawal Carl Gustaf iaitu M1 pada 1948, pengeluarnya ketika itu, Bofors pantas memperkenalkan versi M2 yang lebih baik pada 1964. Setelah memasuki usia lebih 20 tahun, versi termoden iaitu M3 diketengahkan pada 1991 dengan ciri-ciri lebih kredibel.

Sistem anti armor Bazooka disifatkan sebagai senjata anti kereta kebal paling popular semasa Perang Dunia Kedua dan rekaan serta konsep binaanya menjadi asas kepada penciptaan senjata anti kereta kebal generasi kemudian.
Senjata anti armor PIAT.
Dua anggota tentera Soviet Bersama RPG versi awal.

Senjata artileri tunggal

Selain Sweden, Carl  Gustaf pantas memikat negara pengguna seperti Australia, Austria, Belgium, Kanada, Jerman, Amerika Syarikat dan sehingga kini lebih 40 negara telah mengoperasikan senjata ini termasuk Malaysia. Selain itu, amunisi persenjataan ini turut dihasilkan oleh beberapa negara lain secara berlesen di lain-lan negara pengguna termasuklah di Belgium dan India.

Walaupun Carl Gustaf dikenali sebagai senjata anti kereta kebal, tetapi kelebihan taktikal pada persenjataan ini menyaksikan penggunaanya dipelbagaikan mengikut keperluan si pengendali, operasi dan bentuk ancaman semasa pertempuran. Ini juga disebabkan kepelbagaian amunisi menyaksikan Carl Gustav dilabel senjata senjata artileri individu atau ‘one man artillery gun’. Hanya satu masalah ketara kepada senjata ini (terutama bagi versi M2) iaitu saiz serta berat yang keterlaluan berbanding dengan senjata serupa seperti RPG-7.Bagi versi M2, larasnya diperbuart daripada besi manakala versi terkini, M3 pula menggunakan logam nipis yang dibaluti dengan bahan polimer bagi menjadikan senjata ini lebih ringan.  Bahagian utama pelancar ialah sistem penembak iaitu pistol grip, picu serta kunci selamat. Pada bawah laras pula terdapat bahagian pelapik bahu (bahagian di mana laras diletakkan pada bahu penembak), kaki dua boleh ubah serta penggenggam tangan. Carl Gustaf dilengkapkan dengan pejera terbuka jenis kekal pada sisi kiri laras selain boleh dipasangkan dengan pejera teleskopik sebagai aksesori tambahan bagi memudahkan bidikan.

-InformasiTempur

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top