Coretan pengalaman bertugas di Mindanao

Ditugaskan untuk berada di zon konflik bukanlah satu pilihan suka-suka, tambahan pula tugasan yang bakal dipikul nanti melibatkan kepentingan kepada masyarakat awam yang sememangnya mendambakan keamanan.

Tambahan pula, lokasi penugasan adalah wilayah ‘panas’ yang telah bergolak dengan rentetan sejarahnya panjang.

Demi melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan selain membawa bersama imej negara, cabaran-cabaran tersebut diketepikan dengan matlamat hanya satu iaitu untuk mengembalikan ‘rasa selamat’ pada masyarakat setempat.


Tempoh setahun penugasan ini dikongsi oleh penulisnya, Muhaymin Wahab dalam buku kecil berjudul Debaran Semusim Di Cotabato yang mencoretkan kisah-kisah Pasukan Pemantau Malaysia di Cotabato City, Mindanao, Filipina.

Semasa menyertai misi ini Muhaymin merupakan pegawai awam di Kementerian Pertahanan.

Pasukan Pemantau Malaysia ini adalah sebahagian daripada Pasukan Pemantau Antarabangsa Mindanao (IMT) yang melaksanakan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).


IMT ditubuhkan sejak 24 Ogos 2004 berperanan penting dalam memastikan kerajaan Filipina dan MILF mematuhi perjanjian gencatan senjata.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk melantik Malaysia sebagai mengetuai perundingan perjanjian damai dan menghantar kumpulan pemantau.

Turut terbabit pada masa itu ialah Libya dan Brunei sebelum disertai oleh Jepun pada 2007.

Muka kulit hadapan buku ini yang memaparkan longgokan peluru-peluru raifal  pada sebuah bekas tidak perlulah disalah anggap atau menggambarkan sesuatu yang ‘ofensif’ tetapi sesuai dengan tajuknya.

Ia dilihat sebagai intepretasi daripada sebuah konflik yang melanda kumpulan masyarakat besar mengharapkan pengakhiran.

Muhaymin menyertai IMT M-13, iaitu kumpulan ke-13 yang dihantar bertugas di wilayah tersebut selama 12 bulan bermula pada 14 Mac 2018.

Ketika ini misi di Mindanao dilaksanakan oleh tim IMT M-15.

TPA – M13 diketuai Mejar Jeneral Datuk Mohd. Nazir Mami yang terdiri daripada 16 anggota iaitu 11 dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala tiga kakitangan awam daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.

Menggunakan gaya penulisan mudah dan ringkas, namun penceritaan pada buku kecil setebal 114 mukasurat ini memikat pembaca untuk enggan melepaskan tajuk demi tajuk.

Kesinambungan penceritaan pada buku ini disenaraikan kepada 55 tajuk-tajuk kecil, sekali gus tidak menjadikan setiap cerita ini tergantung tetapi masih ada kaitan dengan tajuk berikutnya.


Muhaymin bijak mengajak pembaca mendalami pengalamannya sebagai pelaksana keamanan yang perlu pergi dari setiap daerah dan kampung bertemu masyarakat setempat memberi penerangan.

Tugasan ini memerlukan beliau bertemu dengan komander-komander MILF termasuklah kumpulan-kumpulan pejuang kecil.

Hampir kebanyakan tugasan ini juga perlu diringi anggota tentera Filipina, polis dan juga pejuang-pejuang MILF  lengkap bersenjata yang gayanya seolah-olah hendak pergi berperang.

Walaupun disediakan pengawal bersenjata, namun penugasan IMT M-13 dilakukan amat berhati-hati tambahan pula pada masa itu terdapat khabar angin kemungkinan Cotabato City berkemungkinan menjadi sasaran kedua pejuang Maute dan Islamic State (IS) selepas Marawi.

Konflik bersenjata yang berlarutan juga menyebabkan penduduk di Cotabato City hidup dalam kemiskinan. Walaupun berstatus sebuah bandar, tetapi jurang antara penduduk kaya dan miskin di sini amat ketara.

Keadaan di bandar ini juga ketinggalan 20 tahun berbanding sebuah pekan kecil di Malaysia.

Pada satu tajuk, Muhaymin berkongsi pengalamannya menyiasat satu insiden letupan bom yang mengorbankan seorang ustaz di satu tempat di Maguindanao dipercayai berlaku antara tentera dan MILF.

Ini kerana kerap kali juga pergolakan berlaku antara kumpulan-kumpulan MILF sendiri termasuklah yang berpunca daripada perbalahan antara keluarga.

Debaran Semusim Di Cotabato turut diselit dengan beberapa kisah setempat yang mencuit hati pembaca, misalnya ketika Muhaymin bersama pegawai-pegawai lain dijemput menghadiri ke majlis perkahwinan salah seorang anggota MILF.

Menariknya, ini merupakan perkahwinan kedua anggota tersebut dan sepanjang kenduri berlangsung, imam dan ustaz berucap tentang kebaikan poligami manakala pada paparan video perkahwinan pula menunjukkan isteri pertama pegawai berkenaan menyampaikan ucapan tahniah kepada suaminya.


Jujurnya, keingingnan untuk menghabiskan bacaan Debaran Semusim Di Cotabato akan berakhir dengan rasa ‘tidak puas’ kerana kisah-kisah yang diceritakan merupakan perkongsian pengalaman berharga Muhaymin.

Buku terbitan Studio Anai Anai ini boleh diperolehi dengan menghubungi penulisnya menerusi WhatsApp di talian 019-2775 661 atau boleh layari laman Facebook @lemaribuku15. – Informasi Tempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top