Jepun perkasa pertahanan negara

Pengumuman Jepun yang bakal memiliki sistem peluru berpandu anti kapal hipersonik bertujuan memperkuatkan lagi pertahanan negara itu menarik perhatian pemerhati geostrategik di tengah-tengah kemelut isu di Laut China Selatan.

Ini kerana mengikut ciri-ciri yang digambarkan, peluru berpandu itu nanti berupaya untuk memusnahkan kapal-kapal perang bersaiz besar termasuklah kapal pembawa pesawat.

Kementerian Pertahanan Jepun menjangkakan peluru berpandu hipersonik ini mula digunakan menjelang tahun 2026 disusuli dengan versi yang dipertingkat upaya dua tahun berikutnya.

Untuk itu, Tokyo memperuntukan sebanyak AS$172 juta bagi kos penyelidikan sejak dua tahun lalu dengan jangkaan tambahan sebanyak AS$233 juta tahun ini.

Faktor kelajuan ini juga membolehkan peluru berpandu hipersonik mengatasi sasaran sukar atau yang memiliki sistem pertahanan unggul seperti kapal pembawa pesawat kerana ia tidak boleh dipintas.

Ketika ini China memiliki dua buah kapal pembawa pesawat iaitu Liaoning dan Shandong, sekali gus merupakan satu-satunya negara di rantau Asia Pasifik memiliki kuasa maritim paling ampuh.

Beberapa siri ujian tembakan peluru berpandu balistik di Laut Jepun oleh Korea Utara sebelum ini menambahkan lagi kebimbangan Tokyo. Negara itu dipercayai memiliki ratusan peluru berpandu ini.

Pemilikan ini nanti menjadikan Jepun negara keempat di dunia mengoperasikan peluru berpandu hipersonik selepas Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Bagaimana pun, keupayaan peluru berpandu hipersonik itu nanti dihadkan tidak melebihi 500 kilometer sejajar dengan polisi pertahanan Jepun.

Sungguh pun ia dihadkan daripada memiliki tentera yang besar, tetapi Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) merupakan kuasa millitari keenam terkuat di dunia selepas AS, Rusia, China, India dan Perancis.

Pembangunan pesat JSDF berkait rapat dengan ancaman daripada dua negara berjiran iaitu Korea Utara dan China.

Beijing pula sejak akhir-akhir ini mempamerkan tindakan agresif berhubung isu tuntutan ke atas Pulau Senkaku yang juga dikenali sebagai Diaoyu.

Sebagai perbandingan, JSDF memiliki kira-kira 300 buah jet pejuang serta 20 buah pesawat radar amaran awal (AEW) manakala China pula mengoperasikan 1,000 pesawat tempur moden dan 30 buah AEW.

Begitu juga dengan isu pencerobohan pesawat Rusia ke ruang udara negaranya.

Sebab itu, Tokyo mahu program pembinaan pesawat tempur generasi masa hadapan JSDF berjalan seperti mana dirancang walau pun berhadapan dengan masalah pembangunan teknologi serta kos.

Ia bagi menggantikan pesawat Mitsubishi F-2 dengan ciri-ciri termoden termasuk teknologi halimunan selain keupayaan peperangan elektronik.

Mitsubishi F-2 dibina oleh firma Mitsubishi Heavy Industries dan Lockheed Martin (AS) berasaskan pesawat tempur F-16 Fighting Falcon.

Kesemua 98 buah pesawat ini mula digunakan sejak 20 tahun lalu.

Sehubungan itu, Tokyo mahukan pembinaan pesawat baharu itu nanti yang juga dibantu firma AS memiliki lebih banyak teknologi Jepun berbanding F-2.

Dalam pada itu, pemodenan kuasa udara Jepun yang direstui AS sepanjang empat tahun lalu juga memperlihatkan JSDF beralih daripada sebuah pasukan defensif kepada ofensif.

Ini berikutan perolehan 147 buah pesawat tempur generasi kelima, F-35 buatan AS pada Februari 2018 termasuk 42 buah F-35B iaitu versi yang dioperasikan pada kapal pembawa pesawat.

AS juga turut meluluskan program menaik taraf 98 buah pesawat pemintas F-15J Eagle JSDF melibatkan penyesuaian sistem persenjataan termoden melibatkan kos AS$4.5 bilion.

Paling mengkagumkan juga apabila Perdana Menteri, Shinzo Abe mengumumkan rancangan menubuhkan Pasukan Pertahanan Angkasa Lepas pada Januari lalu bagi memantau ancaman terhadap sistem satelit milik negara itu di orbit.

Unit baharu yang terletak di Pangkalan Udara Fuchu dekat Tokyo dijangka beroperasi tidak lama lagi. Program ‘Star Wars’ Jepun melibatkan kerjasama rapat dengan AS.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top