Kapten Mohd. Khalid, pembawa Suratcara Kemerdekaan

Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, visual Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melafazkan laungan keramat ‘merdeka’ kerap diputar semula baik di kaca televisyen maupun paparan media sosial. Pada masa sama, sosok seorang pegawai lelaki di sebelahnya pasti menancap mata kita.

Mungkin ramai dalam kalangan kita sering tertanya-tanya siapakah pegawai tentera berpangkat Kapten yang berdiri di sebelah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sewaktu lafaz kemerdekaan dilaungkan di Stadium Merdeka ketika itu? Visual yang sama akan kerap dimainkan sepanjang masa setiap kali memperingati hari kemerdekaan.

Pegawai berkenaan ialah Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Hamid yang ketika itu berpangkat Kapten. Beliau telah melalui era penuh cabaran bermula semasa Perang Dunia Kedua, Darurat dan Konfrontasi sehingga bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 1965.

Kapten Mohd. Khalid (kanan) ketika mengiringi Tunku Abdul Rahman pada satu majlis keraian meraikan kemerdekaan.

Beliau merupakan antara sebahagian daripada mereka yang menggerakkan persiapan majlis menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Khalid pada masa itu berpangkat Kapten menjawat sebagai Pegawai Undang-undang di Malaya Command (kini Kementerian Pertahanan). Beliau adalah satu-satunya pegawai tempatan yang amat bertuah apabila diberi penghormatan menjadi Juruiring tentera untuk menyerahkan Suratcara Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman pada hari keramat tersebut.

Pada detik yang dinantikan itu, Kapten Mohd. Khalid begitu tenang mengawal diri menghadapi suasana tersebut kerana beliau akan berhadapan dengan Raja-raja Melayu, pegawai tertinggi British sebagai mewakili Ratu Elizabeth II iaitu Duke of Gloucester dan ribuan rakyat Tanah Melayu yang tidak sabar hendak melaungkan kata-kata keramat ‘merdeka’.

Bagi memastikan acara itu berjalan dengan sempurna, beberapa hari sebelum itu, mereka telah memulakan latihan kawad di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur selama tiga hari. Perbarisan kawalan kehormatan pada hari tersebut diketuai Mejar Abdul Hamid Bidin yang ketika itu merupakan Penolong Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu. Abdul Hamid kemudian menjadi Ketua Turus Tentera Darat dan anak Melayu kedua memegang jawatan sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera.

Tunku amat ceria sekali ketika itu untuk menyempurnakan pengisytiharan kemerdekaan. Dengan berpakaian baju Melayu lengkap sebagai seorang anak raja negeri Kedah, beliau melangkah dengan penuh semangat.

-Kapten Mohd. Khalid

Dilahirkan pada September 1920, anak kelahiran Taiping, Perak ini memulakan perkhidmatan sebagai Prebet di dalam Askar Melayu dan naik setingkat demi setingkat sebelum ditauliahkan sebagai pegawai pada tahun 1949. Mungkin tidak sehebat Leftenan Adnan Saidi, bagaimanapun Mejar Mohd. Khalid memainkan peranan yang berbeza tetapi amat signifikan dengan negara.

Bapa beliau, Mohd. Hamid berketurunan Punjab berasal dari Sind, India dan berhijrah ke Tanah Melayu pada  tahun 1870 bertugas sebagai anggota Malay States Guides di Taiping, Perak. Pasukan ini  sebahagian daripada Garison Negeri-negeri Selat yang keanggotaannya dikhususkan kepada penduduk berbangsa India.

Mohd. Khalid adalah salah seorang daripada rekrut pengambilan khas bagi penubuhan Kompeni W, iaitu kompeni tambahan selepas ambilan Askar Melayu sebelum itu bagi mengisi Kompeni Percubaan Askar Melayu seramai 382 orang kesemuanya ditukar menjadi Rejimen Askar Melayu pada Januari 1935.

Kompeni W ialah kompeni kedua selepas penubuhan tiga Kompeni Percubaan Askar Melayu terdahulu, di mana skuad kompeni ini bermula dari nombor tentera 1097 hingga 1199. Mohd. Khalid memakai nombor tentera 1163. Kompeni ini kemudian disusun semula pada Disember 1941 dengan kekuatan seramai 453 anggota yang  menjadi asas kepada penubuhan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu sebaik meletus Perang Dunia Kedua. Semasa perang, kompeni ini dibahagikan kepada dua iaitu A Kompeni dan D Kompeni dengan kelengkapan yang serba kekurangan berbanding batalion pertama.

Mohd Khalid Bersama pasukannya turut terlibat dalam pertempuran menentang tentera Jepun di Singapura sehinggalah pada detik penyerahan tentera British. Mohd Khalid bersama ratusan tentera yang lain menjadi tahanan perang sebelum beliau bersama seorang lagi rakan mengambil tindakan melarikan diri daripada kem tahanan. Mereka berdua yang masih berpakaian seragam Askar Melayu tetapi tanpa sebarang tanda lencana dengan berbekalkan wang yang ada mengambil keputusan menaiki keretapi untuk pulang ke kampungnya di Kuala Kangsar. Sepanjang perjalanan, dia duduk di dalam gerabak yang sama dengan tentera upahan Jepun berbangsa Thai yang mengenakan pakaian hampir sama.

Mohd. Khalid melapor diri semula di Port Dickson selepas tamat Perang Dunia Kedua dengan jumlah keseluruhan kira-kira tiga kompeni berjaya dikumpulkan. Beliau secara rasmi ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 1949 dan ditukarkan ke Batalion Ketiga Askar Melayu. Pada tahun 1958, beliau dihantar mengikuti kursus Ketua Kompeni di Warminister, Britain dan sekembalinya ke tanah air dilantik sebagai Ketua Kompeni Markas di batalion yang sama.

(Petikan akhbar yang melaporkan berita pemergiaan Mejar Mohd. Khalid pada tahun 2005

Pembawa Perutusan Kemerdekaan Meninggal

TAIPING: Bekas pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diamanahkan membawa perutusan kepada Tunku Abdul Rahman sempena kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Mejar (B) Mohd. Khalid Abd Hamid meninggal dunia di rumahnya, kelmarin.

Beliau yang juga tokoh pejuang kemerdekaan menghembuskan nafas terakhirnya di No 9, Jalan Kakak Tua, Taman Kamunting dekat sini di sisi isterinya, Esah Elias, 75, kira-kira jam 9.15 malam kerana sakit tua.

Gambar Mejar (B) Mohd. Khalid yang dirakam pada tahun 2001.

Allahyarham yang berusia 85 tahun, meninggalkan lima anak perempuan dan dua lelaki berusia 37 hingga 48 tahun serta 21 cucu.

Esah ketika ditemui berkata, sebelum meninggal dunia, arwah suaminya sedang berehat di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen bersamanya.

“Sambil berehat di ruang tamu, arwah menyapu bedak di badan saya apabila tiba-tiba mengadu dadanya sakit dan berasa mahu pergi ke tandas.

“Selepas keluar dari tandas, dia berbaring dan kemudian mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi saya,” katanya sambil menambah hanya mereka berdua berada di dalam rumah ketika itu manakala seorang daripada cucu mereka berada di luar rumah.

Esah berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum meninggal dunia kecuali ada menyatakan kerinduannya terhadap anak-anak yang menetap di Kuantan, Pahang dan Johor.

Esah yang turut hadir menyaksikan perisytiharan hari kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1957, reda dengan pemergian suaminya.

Katanya, ketika Tunku masih hidup, beliau memang rapat dengan arwah suaminya dan selalu datang bermain pingpong di kawasan rumah sewa mereka di Petaling Jaya, Selangor.

-InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top