Korea Utara pamer degil

Walaupun Perang Dingin telah lama berlalu, tetapi tidak di Semananjung Korea yang masih lagi menyaksikan ketegangan hubungan antara Korea Utara – Amerika Syarikat (AS).

Washington yang terjebak dalam Perang Korea akibat perbezaan ideologi antara komunisme dan demokrasi terus dihantui kesinambungan perang tersebut yang masih belum tamat lagi. Perang Korea hanya dihentikan pada 1953 akibat gencatan senjata.

Dengan kedudukan Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa unipolar hari ini maka ia seboleh mungkin dilihat mahu memenangi saki-baki konflik Perang Dingin dengan menundukkan rejim pemerintahan sedia ada Pyongyang.

Walaupun Korea Utara mundur daripada sudut ekonomi sehingga memerlukan bantuan makanan antarabangsa antaranya dari China, AS dan Korea Selatan, namun begitu kedudukannya tetap utuh sebagai antara negara kuasa tentera digeruni di Asia Timur.

Apa yang pasti, pemilikan beberapa reaktor nuklear dan rancangan membina senjata pemusnah berkeupayaan besar telah memberikan Pyongyang kedudukan yang selesa apabila berhadapan dengan AS.

Sebab itu tindakan Pyongyang melancarkan ujian tembakan peluru balistik jarak dekat pada Mac lalu boleh difahami sebagai cubaan halus Presiden Kim Jong-un mempamerkan kemampuan negaranya pada saat dunia berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

Pyongyang antara empat negara di dunia yang memiliki keanggotaan tentera melebihi satu juta orang iaitu selepas China, AS dan India. Ia juga berkeupayaan untuk melancarkan serangan peluru berpandu balistik dari darat atau kapal selam.

Secara teorinya, peluru berpandu antara benua Hwasong-15 milik Korea Utara mempunyai jarak sejauh 13,000 kilometer dan boleh membedil AS.

Sehingga kini masalah keselamatan di Semenanjung Korea masih gagal diselesaikan sedangkan ia tercetus akibat dua sebab asas iaitu kehadiran tentera AS di Korea Selatan dan program pemilikan senjata pemusnah Korea Utara.

Dalam konflik di Semenanjung Korea, AS dilihat cuba memainkan perananannya sebagai orang tengah.

Sepanjang tempoh tersebut, ia telah berjaya mencorakkan Korea Selatan, Jepun dan Taiwan kepada demokrasi acuan AS sekali gus mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan negara-negara berkenaan.

Ini kerana kesan daripada Perang Korea telah menyuburkan sikap anti imperealis barat dan sistem kapitalis di Korea Utara.

Sebagai langkah mengekang ancaman AS juga, maka Pyongyang terpaksa memperkukuhkan kuasa tentera serta jati diri rakyatnya.

Tindakan China yang sejak 30 tahun lalu giat membangunkan kuasa tenteranya juga semata-mata tidak mahu dibayangi AS di rantau tersebut.

Sejak tahun 2006, sebanyak tujuh ujian letupan nuklear telah dilaksanakan Pyongyang dengan kali terakhir pada tiga tahun lalu.

AS percaya negara itu memiliki sekurang-kurangnya 20 kepala peledak berkuasa nuklear yang boleh dilancar menggunakan peluru berpandu balistik.

Sebab itu konflik senjata nuklear Korea Utara dibimbangi boleh mempengaruhi lain-lain negara jirannya membangunkan program senjata nuklear masing-masing lantas mewujudkan perlumbaan senjata.

Hanya China yang merupakan negara kuasa nuklear di Asia Timur. Bagaimana pun, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan turut memiliki kepakaran serupa tetapi hanya terhad bagi tujuan membekalkan
tenaga.

Jika dibandingkan, teknologi nuklear yang dimiliki Jepun adalah jauh lebih maju berbanding Korea Utara. Difahamkan, Tokyo ketika ini mempunyai 54 buah reaktor nuklear bagi kegunaan bekalan tenaga serta penyelidikan dengan kaedah operasi yang ketat.

Korea Selatan yang pernah membangkitkan isu pemilikan senjata nuklear Korea Utara misalnya mempunyai 24 buah reaktor nuklear manakala empat buah dimiliki Taiwan.

Program nuklear bagi bekalan tenaga adalah satu pilihan alternatif, namun ia menjadi merbahaya jika disalah guna. Justeru, tujuan Amerika Syarikat mengawal program senjata nuklear Korea Utara adalah satu tindakan positif bagi mengelakkan implikasi buruk.

Sungguh pun begitu, sikap keras kepala Jong-un yang enggan berlembut dengan pentadbiran Presiden Trump serta menolak proses diplomasi menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top