KRI Bima Suci berlabuh di Pelabuhan Klang

Kapal latihan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), KRI Bima Suci berlabuh di Pusat Hidografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pelabuhan Klang, Selangor dalam rangka lawatan muhibah samudera ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini.

Kapal latihan kadet Akademi Tentera Laut Indonesia itu membawa 190 kru dan taruna (pegawai kadet) Akademi Angkatan Laut (AAL) diketuai Leftenan Kolonel Laut (P) Waluyo.  Kapal kelas Barque itu adalah satu daripada dua kapal latihan yang dimiliki TNI-AL.

Kapal sepanjang 111 meter yang dalam misi diplomasi itu berlayar dari Brunei dengan turut disertai lima pegawai TLDM iaitu Leftenan Muda Mohd Dzuhair Mohd Nizar, Leftenan Muda Joeneldy Ropplin, Leftenan Muda Mohd Fahmi Hamidun, Leftenan Muda Muhammad Faiq Asyraf Muhammad Haris dan Leftenan Muda Muhammad Syafiq Sholihin Azhar.

Lawatan kapal ini bertujuan mengeratkan hubungan dua hala di antara negara yang mereka kunjungi dalam pelayaran tersebut.  Kapal Bima Suci 945 memulakan misi pelayaran diplomasinya pada 5 Ogos lalu di Surabaya, Indonesia dan sudah melawat Manila (Filipina), Osaka (Jepun), Busan (Korea Selatan), Shanghai (China) dan Brunei.

Selepas Malaysia, kapal ini akan meneruskan pelayaran ke Phuket (Thailand), Yangoon (Myanmar), Padang dan Bali (Indonesia) serta Darwin (Australia) sebelum pulang semula ke Surabaya.

Seperti TNI-AL, TLDM turut mengoperasikan kapal serupa iaitu Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera yang ditauliahkan pada tahun 1989. KLD Tunas Samudera yang bersaize lebih kecil berbanding KRI Bima Suci dibina di limbungan Brooke Yacth, Lowestoft United Kingdom berperanan sebagai satu platfom bagi memberi asas-asas pengendalian kapal dan pelayaran.

Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Laksamana Pertama Anwar Mohamed menyambut ketibaan kapal Bima Suci diiringi pancaragam pusat.

Anuar berkata, kunjungan pertama kali kapal tersebut adalah sebahagian daripada diplomasi pertahanan antara kedua-dua negara.

“Lima daripada pegawai muda TLDM menyertai pelayaran tersebut daripada Brunei lima hari lalu hingga ke Pelabuhan Klang untuk sama-sama mempelajari aspek pelayaran.

“Pelayaran menekankan aspek navigasi dan kecintaan kepada persekitaran maritim,” katanya kepada pemberita di sini pagi tadi.

Menurut beliau, pegawai kadet KRI Bima Suci akan mengadakan persembahan pancaragam di KLCC di Putrajaya petang ini.

Sementara itu, berkongsi pengalaman, Leftenan Muda Mohd Dzuhair Mohd Nizar menyifatkan pelayaran itu sebagai pengalaman berharga buat dirinya terutama pendedahan berhubung ilmu kelautan.

“Kapal ini dibina untuk melatih pegawai kadet laut mereka dan saya berbesar hati dapat berkongsi budaya.

“Sepanjang pelayaran kami perlu mengikuti jadual pelatih mereka dan pelbagai perkara dapat dipelajari terutamanya budaya serta aspek navigasi di lautan,” katanya.

-InformasiTempur

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top