Kubu sebagai binaan pertahanan

Kubu merupakan satu binaan berkonsepkan defensif yang dibina sebagai persiapan menghadapi serangan ataupun mempertahankan sesuatu kawasan. Teknologi, perkembangan dan perkembangan kubu pertahanan seiring bermula apabila manusia terdedah kepada konflik, peperangan dan bagaimana untuk mempertahankannya.

Sehingga pada satu peringkat, kubu diiktiraf sebagai lambang status kemegahan dan kebanggan sesebuah pemerintahan iaitu melalui konsep pembinaan istana di dalam kota pertahanan. Secara asasnya, kubu pertahanan mestilah mempunyai ciri-ciri asas seperti kukuh, selamat untuk diduduki, mampu memberikan penyamaran maksima kepada penggunanya, mudah guna dan mudah dibina.

Bagaimanapun, kesemua elemen-elemen ini adalah subjektif kerana bagaimana sesebuah kubu dibina bergantung kepada praktikaliti dan persekitaran. Terdapat berbagai jenis binaan kubu pertahanan yang dicipta oleh manusia.

Kota Aquada di Goa, India yang dibina oleh Portugis pada abad ke-17 dalam usaha mengekang serangan daripada Belanda dan musuh-musuh lain.

Perubahan rekabentuk, struktur binaan dan bahan asas membinanya juga menjadi tanda kepada evolusi teknologi peperangan. Semakin canggih penciptaan senjata dan semakin hebat impak pengeboman, maka para jurutera di medan tempur terpaksa memikirkan konsep binaan kubu pertahanan yang lebih baik. Ada banyak ciri-ciri binaan yang boleh dikategorikan sebagai kubu pertahanan.

Istana sebagai kota pertahanan

Pada masa silam, sesebuah kota pertahanan pada masa biasanya turut menempatkan kediaman pembesar sama ada panglima ataupun raja. Menjadi kemestian pula untuk pemerintah (raja) mendirikan sebuah kota dan juga penempatannya di kawasan yang dipilih.

Kota dan istana ini menjadi kediaman rasmi pembesar atau raya yang secara tidak langsung menjadi lambang pemerintahannya. Bagaimanapun, peranan istana sebagai tempat penginapan raja lebih menyerlah berbanding sebagai kota pertahanan. Apabila raja dan kaum-kerabat yang lain turut tinggal di situ, maka kota pertahanan ini dibina lebih selesa. Asas binaan sesebuah istana berbeza-beza mengikut geografi dan negara.

Istana Tarascon di Perancis yang dibina pada abad ke-15 bagi menghalang serangan musuh ke atas kota itu masih berdiri kukuh hingga ke hari ini.

Istana-istana kuno yang diperbuat daripada batu-batu besar masih lagi boleh dilihat berdiri kukuh di kebanyakan negara Eropah khasnya di Britain, Perancis dan Jerman. Secara amnya, sebuah istana dibina di kawasan yang strategik seperti di atas bukit, mempunyai sistem pertahanan luaran dan dalaman yang baik, berdinding tebal serta tinggi. Istanan mesti mempunyai menara atau bahagian yang tinggi untuk fungsi tinjauan dan semestinya kukuh.

Era pemerintahan beraja masa itu menyaksikan peperangan, perebutan kuasa, peluasan pengaruh dan mempertahankan koloni masing-masing. Raja-raja yang lemah akan mudah tunduk di bawah kuasa yang kuat walaupun dalam kalangan mereka yang berperang ini adalah kerabat di raja serta bersaudara. Bagi melindungi keselamatan koloni, kota-kota yang kukuh dibina sebagai persiapan untuk berperang sekiranya ada kuasa luar yang ingin menceroboh.

Istana juga tidak semestinya dibina untuk raja sahaja tetapi juga para bangsawan yang lain seperti kerabat-kerabat diraja yang terdekat dan para panglima perang yang handal (knights).

Pembangunan pembinaan istana di Eropah agak ketara selepas abad ke 12. Pada era ini, boleh dikatakan pembinaan dan peranan istana menjurus kepada soal pertahanan dan peperangan. Istana menjadi lambang kekuatan satu-satu pemerintahan beraia atau status kegagahan seseorang panglima perang. Malah, melihat kepada saiz dan rekaan, seseorang boleh mengagak siapa pemiliknya.

Konsep pembinaan istana pula dilihat berubah antara satu abad ke satu abad tetapi masih mengekalkan fungsinya sebagai kota pertahanan dan pusat perkembangan negara. Perang Salib memberi pendedahan kepada masyarakat Eropah bagaimana membina kota atau istana yang lebih kukuh.

Mereka melihat betapa kukuh dan kuatnya kota pertahanan tentera-tentera Islam. Pada abad ke 13, istana dibina seperti kota terapung. Parit yang dalam dibina mengelilingi istana manakala tembok-tembok berlapis dibina di dalamnya bagi tujuan pertahanan.

Kota Kuala Kedah

Negara kita turut mewarisi banyak kota pertahanan tinggalan zaman pemerintahan kerajaan Melayu lama antaranya Kota Lukut di Negeri Sembilan, Kota Johor Lama dan Kota Seluyut (Kota Tinggi, Johor), Kota Kuala Kedah dan Kota Melawati (Kuala Selangor). Kebanyakan kota-kota kerajaan Melayu lama ini dibina bagi mengawal aset-aset ekonomi masa itu daripada ancaman luar.

Tidak seperti kota kuno Eropah yang nampak kukuh, kota raja-raja Melayu dibina daripada batu-batu merah, kayu atau lapisan timbunan tanah dan batu secara berlapis. Ia dibina sebegitu rupa mengikut jenis ancaman pada masa itu dan sistem persenjataan yang digunakan. Seperti kota di barat, kota pertahanan orang-orang Melayu juga menempatkan berlaras-laras meriam diletakkan bagi memperkukuhkan pertahanan kubu ini.

Kota Johor Lama sebagai contoh merupakan kota pertahanan paling utuh dibina orang-orang Melayu selepas era kejatuhan Kesultanan Melaka. Kota ini juga menyaksikan peperangan sengit antara pahlawan-pahlawan Melayu dan Portugis. Ia telah dibina pada tahun 1540 semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564). Kota ini merupakan pertahanan terbaik yang dibina di sepanjang Sungai Johor pada masa itu.

Selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511, Sungai Johor menjadi pusat pentadbiran dan kota pertahanan untuk serangan balas kedudukan Portugis di Melaka. Persekitaran semula jadi kota ini menjadikannya mudah untuk memantau pergerakan kapal-kapal terutamanya ancaman daripada orang Aceh dan Portugis. Hanya selepas hampir 50 tahun, iaitu pada tahun 1587, Kota Johor Lama jatuh ke tangan Portugis berikutan serangan Portugis yang dibantu bala tentera dari Goa.

Fort Carillon yang dibina oleh pemerintah Perancis di Kanada semasa Perang Perancis-British pada tahun 1755 antara contoh binaan kubu sebagai kota pertahanan.

Pertahanan dan perang antara kubu

Perang Dunia Pertama membawa dimensi baru dalam merangka strategi peperangan moden masa hadapan. Pembangunan teknologi pula telah berjaya menghasilkan sistem persenjataan yang berkeupayaan tinggi seperti raifal, mesingan dan artileri dengan jarak kena sasaran yang lebih jauh berbanding era sebelumnya.

Peperangan ini membahagikan kepada dua medan hadapan iaitu Medan Hadapan Barat-Eropah (Western Front) dan Medan Hadapan Timur-negara Timur Tengah (Eastern Front). Medan Tempur Barat di Perancis menyaksikan pertempuran lebih tragis antara tentera Berikat menentang Jerman.

 

Ilustrasi kedudukan kubu pertahanan semasa Perang Dunia Pertama yang menjadi batasan medan tempur ketika itu.

Semasa kempen awal Perang Dunia Pertama di Perancis, tentera kedua-dua belah pihak yang bertempur merasa sukar untuk merampas medan hadapan musuhnya. Anggota infantri pula terdedah kepada bahaya impak serangan artileri yang dahsyat. Oleh itu pertempuran di sesebuah kawasan ada-kalanya memakan masa lama tanpa.

Ini menyebabkan tentera kedua-dua belah pihak yang bertahan terpaksa membina kubu-kubu perparitan bagi perlindungan sementara sebelum bersedia meneruskan pertempuran. Tentera Jerman dikatakan mendahului teknik membina kubu perparitan dan benteng pertahanan di sini.

Masalah yang dihadapi oleh para komander tentera Perancis dan British ialah bagaimana untuk melepasi benteng pertahanan Jerman yang kukuh ini. Sehingga pada pertengahan kempen pada 1915, tentera Jerman telah memperluaskan konsep penggunaan sistem perparitan dan benteng pertahanan di barisan hadapan.

Rangkaian sistem pertahanan ini semakin kompleks dan berselerakan apabila peperangan terus berlanjutan lantas menyukarkan lagi serangan lantas memperkukuhkan lagi pasukan yang bertahan.

Kini, konsep binaan kubu pertahanan dan perparitan di Medan Hadapan Barat adalah pelbagai tetapi semuanya mengikut bentuk ,muka bumi. Secara amnya, kubu perparitan ini mempunyai lubang hadapan di mana anggota infatri ditempatkan bagi membalas tembakaan dan berlindung sebelum menyerang.

Turut dibina di sini ialah beberapa buah terowong yang dlgunakan sebagai laluan pintas untuk mendekati pertahanan musuh. Terowong ini juga bertindak sebagai lubang perlindungan daripada tembakan artileri serta penempatan sementara kepada anggota infantri sehingga mereka berjaya menduduki pertahanan musuh.

Terdapat dua atau lebih laluan/lorong perparitan di belakang kubu perparitan utama tadi. Perparitan tambahan ini adalah tempat di mana pasukan induk (main body) berada. Perparitan-perpartian tambahan ini dihubungkan antara satu sama lain oleh lorong-lorong perhubungan sehingga ke perparilan pertahanan utama. Lorong perhubungan ini dibina dalam bentuk zig zag bertujuan untuk menyukarkan tembakan oleh anggota infantri musuh pada pertempuran jarak dekat sekiranya pertahanan ini dihampiri.

Kawasan tanah lapang yang memisahkan kedua-dua pihak yang bertempur ini dikenali sebagai ‘no man’s land’ dan amat merbahaya untuk mana-mana pihak melepasinya. Ia merupakan sasaran utama bagi tembakan mesingan, raifal dan artileri. Bagi menghalang dan menyukarkan kemaraan musuh, mereka turut memasang kayu-kayu halangan serta kawat berduri. – Informasi Tempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top