Nilai tinggi sejarah artifak perang

Penenggelaman dua kapal perang Tentera Laut Diraja British (RN), HMS Prince of Wales dekat perairan Pahang setelah dibom oleh pesawat-pesawat Tentera Imperial Jepun pada 10 Disember 1941 akan terus dikenang dalam catatan sejarah Perang Dunia Kedua. Ini kerana buat pertama kali menyaksikan kapal perang yang dikategorikan ‘hebat’ ditenggelamkan secara total hanya menerusi serangan pesawat-pesawat udara menggunakan bom dan torpedo.

Turut tenggelam ialah sebuah lagi kapal perang, HMS Repulse yang menyaksikan seramai 840 orang pegawai dan kru kedua-dua kapal bersemadi di Laut China Selatan. Penenggelaman kapal-kapal ini dianggap tragik selain turut merubah taktik peperangan maritim moden. Kedua-dua kapal yang menghuni dasar perairan Kuantan bersemadi bersama pegawai dan kru yang terkorban.

Ilustrasi artis yang menggambarkan insiden serangan udara tentera Jepun menenggelamkan HMS Prince of Wales dan HMS Repulse dekat perairan Kuantan. Malangnya, lokasi kedua-dua kapal ini bersemadi diburu penjarah-penjarah asing.

Bagaimanapun tanpa disedari banya pihak, khazanah ini yang kisahnya kerap kali diulang cerita setiap kali mengingati sejarah Perang Dunia Kedua secara diam menjadi mangsa ‘penjarah asing’. Besi-besi kapal ini dicuri untuk dijual sebagai besi buruk dengan mengaut keuntungan besar.

Berita penjarahan ini misalnya dilaporkan oleh akhbar The Telegraph di Britain pada tahun 2014 dan menarik perhatian pengkaji sejarah di sana. Antara khazanah yang dilaporkan telah dijarah ialah propelor kedua-dua kapal yang diperbuat daripada tembaga. Berat setiap satunya dianggarkan kira-kira 15 tan dengan kiraan harga pasaran ketika itu ialah mencecah RM24,000 untuk setiap tan jika dijual.

Rondaan dan penguatkuasan di perairan negara kemudian menyaksikan kejayaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pahang menahan serta mematahkan operasi penjarahan yang dilakukan sekumpulan penyelam dari Vietnam pada 25 Ogos 2015 dalam satu operasi kira-kira 66.9 batu nautika dari utara Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang. Kejayaan pihak TLDM mematahkan cubaan anasir luar menjarah khazanah tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua ini menjadi tajuk besar akhbar ketika itu apabila merampas kesemua artifak perang yang nilainya dianggarkan kira-kira RM500,000 dan dipercayai ingin dijual sebagai besi buruk.

Seorang pegawai wakil kerajaan Britain memeriksa besi-besi milik kapal HMS Prince of Wales yang dirampas di Kuantan sebelum diserahkan kepada wakil kerajaan Malaysia pada 2016.

Susulan rampasan ini, pada Mac 2016 misalnya, kira-kira 15 tan artifak daripada kapal perang HMS Prince of Wales kemudian diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai satu lagi khazanah negara. Penyerahan dilakukan oleh wakil kerajaan British kepada pihak Muzium Tentera Darat (Muzium TD) di Kemaman, Terengganu.

Artifak yang sebahagian besarnya adalah kepingan tembaga dan logam berkualiti daripada badan kapal perang berkenaan akan dipamerkan di Muzium TD di Port Dickson dan Muzium Negara.

Justeru, usaha pemuliharaan artifak kapal perang ini antara langkah proaktif yang dimainkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) menerusi Muzium TD bagi memastikan khazanah sejarah ketenteraan negara dipelihara.

Kapal penjarah milik perompak dari China yang dirakam pada tahun 2017 melakukan penjarahan di lokasi tiga buah kapal dagang Jepun yang karam dekat perairan Sabah semasa Perang Dunia Kedua.

Media Britain pada tahun 2017 melaporkan, tiga bangkai kapal dagang Jepun yang karam dekat perairan Sabah semasa Perang Dunia Kedua turut menjadi mangsa penjarah artifak perang dari China. Ketiga-tiga kapal ini iaitu Kokusei Maru, Higane Maru dan Hiyori Maru ditenggelamkan oleh kapal selam Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 1944 mengorbankan kesemua anak kapal. Lokasi penenggelaman kapal-kapal ini dikenali sebagai ‘Usukan wreck’ dan lokasi ini menjadi tumpuan bagi aktiviti selam di Sabah kerana terdapat banyak karang-karang cantik.

Pada September 2015 juga misalnya, Muzium TD telah melaksanakan misi ekskavasi Ops Gangga bagi membawa keluar rangka tiga kru pesawat C-47B Dakota tentera Amerika Syarikat (AS) yang terhempas di Gunung Bubu pada tahun 1945. Pesawat malang berkenaan yang dalam penerbangan menghantar bekalan dari Singapura ke Pengkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dipercayai terhempas akibat cuaca buruk.

Misi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertahanan AS ini juga mencatat sejarah baharu bagi kedua-dua negara selain merupakan ekskavasi kali pertama pakar-pakar AS ke Malaysia. Ia melibatkan seramai 110 petugas terdiri daripada anggota tentera Malaysia, ‘Defense POW/MIA Accounting Agency (DPAA)’ yang dibentuk oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan agensi berkaitan.

Kurator Muzium TD, Mejar Zuraiman (kiri) memberi penerangan kepada para penyelidik semasa berada di lokasi nahas pesawat Dakota pada misi ekskavaso di Hutan Beruas.

Kerajaan negeri Perak ketika itu juga membayangkan untuk membuka tapak penemuan pesawat malang ini sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu berhubung sejarah ketenteraan negara termasuk menyediakan laluan masuk ke kawasan berkenaan. Bagaimanapun, tiada langkah susulan dibuat dan berkemungkinan juga disebabkan faktor kesukaran untuk menempuh perjalanan ke sana kerana lokasinya yang terletak jauh ke dalam hutan dan hanya boleh diakses melalui jalan balak.

Misi ekskavasi pertama yang berjaya diselesaikan ialah operasi mengeluarkan pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) milik Tentera Udara Diraja British (RAF) di Gua Musang, Kelantan pada 2008 dan ia telah diserahkan dengan upacara penghormatan ketenteraan kepada kerajaan Britain pada 2012.

Satu lagi misi ekskavasi Muzium TD bersama kumpulan sejarah, Malaya Historical Group pada tahun 2012 pula menemui pesawat B-24 Liberator RAF (KL654) yang terhempas dikawasan hutan Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 1945 akibat cuaca buruk yang mengorbankan kesemua anak kapal.

Di sebalik usaha ini, masih terdapat banyak lagi artifak, struktur bangunan atau kawasan lokasi pertempuran yang berkaitan dengan sejarah ketenteraan negara perlukan perhatian. Misalnya pantai Sabak, Kota Bharu, Kelantan yang menyaksikan pendaratan  tentera Jepun pada awal pagi 7 Disember 1941 iaitu kira-kira sejam sebelum bermulanya serangan ke atas Pearl Harbour di Hawaii. Jika di Eropah, pantai Sabak boleh diumpakan seperti pantai Omaha di Normandy, Perancis yang menjadi lokasi pendaratan tentera AS semasa Perang Dunia Kedua seperti dipaparkan dalam filem Saving Private Ryan.

Lokasi kawasan Pertempuran Kampar yang merupakan sebahagian daripada catatan penting sejarah Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.

Sehingga ke hari ini, pantai berkenaan menerima kunjungan ribuan pelancong dari serata dunia semata-mata untuk melihat tinggalan sejarah yang ada di situ seperti kubu dan muzium. Bezanya dengan pantai Sabak kerana banyak kubu-kubu tinggalan Perang Dunia Kedua telah bersemadi di dasar laut akibat hakisan pantai namun, nilai sejarah pantai ini tetap ada.

Begitu juga lokasi sejarah Green Ridge di Kampar, Perak yang terletak berhampiran Jalan Ipoh-Kampar. Kawasan berbukit ini adalah lokasi pertempuran antara 1,500 tentera British menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari pada 30 Disember 1941.

Dikenali sebagai Pertempuran Kampar, ia menyaksikan korban seramai 150 tentera British serta 500 tentera Jepun dan merupakan salah satu pertempuran hebat dalam kempen Jepun menawan Tanah Melayu ketika itu.

Sudah tiba masanya kawasan bersejarah seperti pantai Sabak, Green Ridge dan lain-lain lokasi sejarah ketenteraan bernilai tinggi diwartakan sebagai tapak warisan.Tinggalan sejarah di situ perlu dipulihara dan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan. – Informasi Tempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top