Nyaris kena ‘Booby trap’ sebelum Syawal

Menghabiskan tempoh operasi selama sebulan berada di dalam hutan belantara bukanlah masa yang singkat, apatah lagi sekiranya jatuh semasa umat Islam meraikan lebaran.

Bagi bekas pegawai dan anggota Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD), pengalaman bertugas pada era 1970-an memerangi pengganas komunis tetap diingati.

4 RAMD yang merupakan antara batalion infantri tertua di dalam Tentera Darat ditubuhkan pada tahun 1949 dan mendapat gelaran Gurkha Malaya kerana kehebatan anggotanya yang diakui setanding dengan tentera-tentera Gurkha ketika itu.

Semasa tahun 70-an, 4 RAMD berpangkalan di Kem Ashby Road di Ipoh. Kini batalion tersebut terletak di Tapah.

Tambah menggerunkan ialah apabila diri hampir menemui ajal tetapi umur masih panjang setelah terselamat daripada terpijak jerangkap samar yang dipasang musuh.

Jerangkap samar merupakan ‘senjata pembunuh’ senyap pengganas komunis, malah telah menyebabkan ratusan tentera cacat apabila kehilangan anggota tubuh.

Pengalaman ini diceritakan bekas tentera, Ibrahim Ishak, 65.

Katanya, dia dan rakan-rakan terselamat apabila berjaya menjumpai kawasan jerangkap samar komunis dalam satu operasi di Air Kala, Lenggong pada tahun 1977 menjelang hari raya Aidilfitri.

“Ketika itu platun dalam perjalanan keluar dari hutan sebelum kami berhenti berehat di satu kawasan. Dalam keadaan tubuh yang kepenatan, memang kita hanya terfikir untuk melepaskan lelah.

“Bagaimana pun semasa sedang berehat, salah seorang rakan secara tidak sengaja terlihat lilitan wayar yang tesorok di dalam tanah. Memang pada pandangan mata kasar kita sukar mengesan kedudukan wayar tersebut.

“Apabila diperiksa secara berhati-hati, rupa-rupanya ia adalah jerangkap samar. Berderau darah kerana jerangkap samar itu memang tidak jauh daripada tempat kami berehat. Sekiranya meledak, pasti korban jiwa atau kecelakaan tinggi.

“Umur kami masih panjang kerana beberapa jerangkap samar dipasang di situ dan kesemuanya berjaya kami matikan,” ujarnya.

Pengalaman menyambut lebaran di perbatasan turut dikongsi Alias Hashim, 66, yang memberitahu tidak timbul rasa takut atau rindukan kampung halaman ketika itu kerana sudah menjadi rutin untuk mereka bertugas tanpa mengira waktu dan lokasi.

Katanya, menjadi pegawai tentera pada masa itu semasa negara berhadapan dengan ancaman pengganas komunis menyedarkan mereka bahawa tugas itu bukan sebarangan.

Situasi ‘perang’ juga menyasikan pegawai dan anggota tentera telah bersiap sedia dariapada aspek mental dan fizikal semasa beroperasi di dalam hutan belantara.

Tegas anak kelahiran Parit, Perak ini, mereka tahu tugas tentera ketika itu adalah untuk memburu musuh.

Beliau yang bertugas di batalion berkenaan antara tahun 1973 hingga 1976 merupakan ketua platun semasa berpangkat Leftenan Muda.

“Antara kawasan operasi ketika itu ialah di sekitar Gopeng dan Gerik. Operasi semasa bulan puasa dan Syawal sama sahaja seperti hari-hari lain. Persekitaran kita cuma kawan-kawan dan hutan belantara.

“Masa itu tiada telefon bimbit, jadi kita cuma berhubung dengan pasukan lain menggunakan radio perhubungan tentera,” ujarnya.

Katanya lagi, saat paling gembira ialah apabila menerima kad ucapan dan kuih-muih kiriman keluarga dari kampung yang dihantar menggunakan helikopter.

“Semuanya kuih-kuih Melayu masa itu seperti kuih bakar, kuih siput selain rendang,” ujarnya yang bersara daripada tentera pada tahun 2006 dengan pangkat Leftenan Kolonel.

Alias juga pernah menjawat sebagai Komandan Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan) di Ipoh sebelum bersara.

Cerita Zainuddin Md. Som, 66, pula, ketibaan Syawal disambut ala kadar sahaja kerana operasi.

“Juadah pun cuma makanan catuan tentera sahaja kerana kita tidak tinggal tetap di satu-satu lokasi,” ujarnya yang menamatkan tugas selepas berkhidmat selama 10 tahun.

Bagi seorang lagi veteran 4 RAMD, walau pun pernah beraya semasa operasi di dalam hutan tetapi pengalaman menyambut lebaran di negara asing, Congo meninggalkan kenangan seumur hidup.

Abdul Razak Saat, 86, yang bertugas di 4 RAMD menyertai misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Congo (ONUC) antara Mei 1960 hingga September 1962.

Ketika itu 4 RAMD di bawah pemerintahan Leftenan Kolonel Ungku Nasarudin Ungku Mohammed merupakan batalion tentera negara yang pertama berkhidmat di Congo.

Katanya, menempuh perjalanan jauh ke Congo menaiki kapal mengujakan lantaran ramai dalam kalangan anggota tentera Malaya merupakan pemuda-pemuda kampung yang tidak pernah ke luar negara, apatah lagi menaiki kapal yang besar.

Selepas tiba di Port Matadi, mereka menaiki feri sebelum meneruskan perjalanan dengan keretapi.

Menceritakan pengalamannya, Abdul Razak yang berpangkat Prebet mengakui ada ketikanya merindui kampung halaman terutama apabila terkenangkan keseronokan beraya.

Katanya, saat paling dinantikan ialah apabila menerima kiriman surat dan kad raya daripada keluarga yang akan dibaca berulang-ulang kali.

“Pada masa itu kad ucapan raya dan surat-surat menjadi pengubat kerinduan. Kita pula berada beribu-ribu batu jauh.

“Walau pun pernah bertugas semasa Ramadan atau Syawal di hutan belantara tetapi keadaanya tidak sama kerana kita berada di tanah air sendiri, tetapi kali ini kita di bumi Congo, di Afrika yang begitu asing.

“Keadaan negara berkenaan yang kacau-bilau dan kerap berlaku pertempuran menyebabkan tentera pengaman sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Abdul Razak yang bersara pada tahun 1975 dengan pangkat Sarjan kini menetap di Kampung Simpang Empat, Batu Kurau, Perak.

Mengingati kembali pengalaman kira-kira 59 tahun lalu itu, dia yang bertugas sebagai jurusemboyan berkata, semasa di Congo pasukannya ditempatkan di Kem Chanic, Leopoldville.

Katanya, suasana di Congo pada masa itu buruk sekali gus mengingatkan mereka tentang keadaan di tanah air sebelum negara mencapai kemerdekaan menyebabkan timbul rasa simpati terutama kepada kanak-kanak.

Cerita Abdul Razak, ingatan tentang hari raya bagi anggota tentera ketika itu cuma di dalam hati dan tiada sambutan besar kerana bertugas di medan perang.

“Hari raya disambut ringkas sahaja. Selepas solat sunat (Aidilfitri) di pangkalan, diadakan pula majlis makan sebelum anggota bertugas seperti biasa.

“Bagi mengubat kerinduan, pihak atasan putarkan piring hitam lagu-lagu nyanyian seniman ketika itu sebagai penghibur hati,” ujarnya tersenyum mengenang kisah lampau.

(Nota: Temubual ini dirakam semasa hadir pada majlis berbuka puasa Veteran Batalion 4 RAMD di Hotel Heritage, Ipoh, Perak tahun lalu. Ahli-ahli kelab veteran ini merupakan bekas pegawai dan anggota 4 RAMD yang berkhidmat sekitar tahun 1970an hingga 1980an iaitu ketika era Insurgensi. Artikel ini telah diolah semula daripada penulisan sebelumnya yang telah tersiar pada sebuah akhbar tempatan)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top