OBUA Tingkatkan Kecekapan Tentera Darat

Bunyi dentuman letupan diselang-seli dengan tembakan mesingan memecah hening pagi dengan sekumpulan tentera dilihat bergerak penuh berhati-hati. Mereka yang jumlahnya kira-kira 60 orang kemudian berpecah untuk merapati kawasan serangan  berupa susunan kontena yang binaanya kelihatan strategik.

Bagaimana pun, tentangan hebat musuh yang berlindung di situ memerlukan komander serangan ini mengatur taktik dengan betul bagi mengelakkan kecelakaan.  Mereka perlu ‘membersihkan’ satu demi satu kontena ini seterusnya membebaskan kawasan itu daripada diduduki musuh.

Demikian kesukaran yang digambarkan pada demonstrasi semasa perasmian kemudahan latihan Operasi Dalam Kawasan Terbina (OBUA) yang pertama di Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) Kem Tapah di sini baru-baru ini. Perkampungan latihan berkeluasan kira-kira 2.4 hektar itu bakal dijadikan projek perintis sebelum diperluas ke kem lain dalam usaha meningkatkan latihan berkaitan peperangan di kawasan terbina seperti bandar.

Risiko kecederaan dan kehilangan nyawa dalam peperangan OBUA adalah lebih tinggi bagi kedua-dua pihak memandangkan pihak lawan mempunyai taktik dan perlindungan yang pelbagai selain risiko kepada orang awam.  Melihat kepada keperluan tersebut, Tentera Darat (TD) mengambil inisiatif untuk menaik taraf fasiliti OBUA bagi memantapkan latihan anggotanya.  Ini kerana dalam menghadapi perubahan ancaman keselamatan, keupayaan angkatan tentera terutama TD  tidak lagi boleh diukur dalam bentuk peperangan insurgensi atau di hutan melawan musuh.

Fasiliti OBUA seperti di Kem Tapah akan dibina di lokasi lain mengikut zon iaitu di Kem Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah (Zon Utara); Kem Desa Pahlawan, Kelantan (Zon Timur 1); Kem Mentakab, Pahang (Zon Timur 2) dan di Kem Tapah bagi Zon Tengah. Bagi pasukan di zon selatan, latihan OBUA boleh dilaksanakan di Kem Terendak; Melaka, Kem Asahan, Negeri Sembilan serta di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Johor Bahru.

Sesuai dengan evolusi taktik pertempuran pada masa kini yang ‘pantas bergerak’ menuntut pasukan itu mempersiapkan diri menghadapi ancaman-ancaman berbentuk terorisme yang mungkin berlaku.  Justeru TD  merancang untuk membangunkan beberapa  kemudahan latihan OBUA sejajar dengan keperluan menghadapi ancaman semasa.

Kita telah melihat bagaimana pertempuran OBUA misalnya di Marawi, Filipina selain di Sri Lanka dan Thailand. Meskipun negara kita masih terselamat dari tindakan sedemikian, kita perlu melengkapkan anggota terutama pasukan-pasukan yang akan beroperasi ini dengan latihan tinggi agar mereka sentiasa bersedia apabila keadaan memerlukan.

Foto kredit: BTDM

-InformasiTempur

1 thought on “OBUA Tingkatkan Kecekapan Tentera Darat”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top