Op Benteng perkasa kawalan

Sambutan Syawal pada kali ini ternyata mengubah norma masyarakat. Ini kerana perang memutuskan rantaian wabak Covid-19 memaksa kita untuk menahan diri daripada melakukan amalan biasa terutamanya ziarah menziarahi.

Pada saat masyarakat merasakan betapa sukarnya untuk membiasakan diri dengan norma baharu ini, persekitaran sama turut dihadapi oleh para petugas barisan hadapan khususnya anggota pasukan keselamatan.

Biarpun terpaksa menyambut lebaran dalam suasana yang berbeza, ia tidak sama sekali melunturkan semangat mereka untuk menjalankan tugas sebagai barisan hadapan negara.  Bagi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula, tanggungjawab mereka tidak terbatas ketika wabak Covid-19 melanda sahaja, malah melangkaui daripada itu.

Buktinya, semangat anggota tentera kekal utuh. Alah bias tegal biasa, ada tanggungjawab lebih berat yang perlu dipikul iaitu amanah mengawal perbatasan negara termasuk di ruang udara dan samudera.

Di darat misalnya, anggota ATM membuat rondaan di sempadan di kedua-dua perbatasan Semenanjung dan Borneo. Mereka melaksanakan tanggungjawab sama yang telah dipikul oleh wira-wira terdahulu khususnya semasa negara berhadapan dengan ancaman pengganas komunis.

Sebab itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang turut meninjau sendiri penugasan di lapangan apabila menyertai rondaan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Jebat di Selat Melaka pada 3 Syawal lalu.  Turut mengiringi Affendi ialah Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dan Panglima Armada Barat, Datuk Aris Adi Tan Abdullah.

KD Jebat, frigat paling ampuh dalam aset maritim negara sedang melakukan Operasi (Op) Benteng mengawasi perairan zon ekonomi eksklusif (ZEE) di sekitar selat tersebut.  Op Benteng diaktifkan di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan ATM diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan persempadanan negara bersama-sama agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain.

Ini termasuk pihak polis, Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.  Operasi ini adalah bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Selain itu, tumpuan utama dalam operasi bersepadu tersebut adalah untuk mengesan dan menahan tekong laut serta darat yang memainkan peranan dalam mengaturkan perjalanan keluar dan masuk PATI ke negara ini.  KD Jebat yang mempunyai keupayaan khusus daripada segi sensor di atas kapal juga mampu melaksanakan pengawasan dalam mengekang bot-bot asing daripada menghampiri perairan negara.

Tugas pengawasan ini turut menggunakan helikopter Super Lynx TLDM. Ia merupakan helikopter tempur maritim selain memikul tugas sebagai pemburu kapal selam menyebabkan helikopter ini digeruni. Super Lynx turut dilengkapi dengan sistem sensor dan radar jenis Seaspray yang mampu mengesan objek sehingga pada jarak sejauh 25 kilometer. Kehebatan helikopter ini turut ditonjolkan pada filem Paskal.

Penggunaan Super Lynx berjaya menghindari bot PATI daripada memasuki perairan Selat Melaka di samping mengelakkan sebarang cubaan pendaratan bot-bot asing.   Sejak dilancarkan pada Mei lalu, sehingga kini seramai 393 PATI dan 72 tekong telah ditahan menerusi Op Benteng kerana cubaan memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus. Turut ditahan 11 individu yang disyaki penyeludup serta 12 buah kapal.

Pelaksanaan operasi oleh APMM pula berjaya mengusir 132 PATI, tekong (lima) serta kapal (17) yang mencuba membolosi kawasan sempadan negara.  Operasi bersepadu ini juga telah berjaya menahan kira-kira 1,517 warga asing yang telah menceroboh sempadan negara.

Biar pun ada suara mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan mengusir PATI semasa di lautan atas nama nilai kemanusiaan, namun aspek kedaulatan negara lebih diutamakan.  Ini kerana cubaan PATI untuk masuk secara haram adalah satu tindakan pencerobohan yang kesannya boleh mendatangkan bahaya kepada rakyat jika tidak dibendung.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top