Pegawai, anggota PGA tamat latihan asas infantri

Seramai 491 pegawai dan pegawai rendah polis (PRP) termasuk 15 wanita telah berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) (Pegawai dan PRP)  Siri 1/2019 di Kem Briged Utara PGA, Ulu Kinta, Perak baru-baru ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 73 orang merupakan pegawai kanan polis daripada semua formasi PGA di seluruh negara.

Kursus selama tiga bulan ini meliputi modul jasmani, senjatapi, modul PGA, ketenteraman awam, repealing dan abseiling, asas tempur jarak dekat, modul liberal dan latih amal. Ini merupakan kursus wajib yang perlu dihadiri setiap pegawai dan anggota yang bertukar masuk atau menyertai PGA bagi membolehkan mereka memahami penugasan dan peranan pasukan berkenaan yang boleh disifatkan sebagai tunjang belakang Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ini kerana PGA atau dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH) yang merupakan antara ketumbukan yang boleh diatur gerak ke mana-mana kawasan atau lokasi yang memerlukan ‘tenaga’ tambahan anggota polis pada kadar cepat dan segera.

Pelatih kursus asas PGA memeriksa tubuh musuh yang Berjaya ditumpaskan semasa menjayakan demonstrasi tempur platun. (Foto: PLPGA Ulu Kinta)

Mereka dilatih supaya bersedia untuk digerakkkan dalam apa jua situasi penugasan dan konsep ini selari dengan peranan dan fungsi PGA sebagai sebuah pasukan yang berstatuskan para militeri seperti termaktub dalam Arahan KPN No. 3. Sebagai unit paramilitari, PGA dengan struktur pemerintahan sama seperti tentera dilengkapi dengan persenjataan yang lengkap bagi sesebuah unit infantri termasuk mesingan dan mortar selain memiliki skuadron kereta perisai.

Terdahulu, majlis penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Mastor Mohd. Ariff. Kursus yang dikendalikan oleh Pusat Latihan PGA (PLPGA) ini bermula pada 30 Jun di bawah seliaan para jurulatih diketuai komandernya, Superintendan Rusli Abas. PLPGA sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Latihan PPH (SLPPH) telah ditempatkan di Ulu Kinta sejak tahun 1967 ketika ini diletakkan di bawah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Sementara itu dalam ucapannya, Mastor berkata, kursus tersebut adalah selari dengan penugasan pasukan berkenaan untuk menjadikan PGA sebagai agensi penguat kuasa utama dan berintegriti.

Katanya, PGA sebagai agensi yang relevan antaranya memikul tanggungjawab mengawasi sempadan negara menerusi penugasan di 222 pos sempadan selain tugas-tugas pencegahan jenayah.

“Bukan itu sahaja, PGA turut terlibat dalam misi bersama pasukan pengaman di beberapa negara serantau yang bergolak.

“Adalah penting untuk warga PGA menguasai ilmu Operasi Melawan Insurgensi (CIW), Peperangan Terbuka (CW) dan ketenteraman awam,” ujarnya.

Beliau kemudian turut menyampaikan anugerah kepada pelatih terbaik peringkat pegawai iaitu Inspektor Mohamad Fizal Md. Isa bagi kategori jasmani, Asisten Superintendan (ASP) Mohd. Faizal Maamor (tembak), Asisten Komisioner (ACP) Nordin Manan (teori) dan Asisten Superintendan Azhar Johar (keseluruhan).

Tujuh anggota kursus asas PGA mempamerkan aksi semasa melakukan demonstrasi CQB pada majlis perbarisan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) (Pegawai dan PRP) Siri 1/2019.

Bagi peringkat anggota pula anugerah terbaik jasmani diterima Koperal Mohd. Fazrul Mohamad Nor, Lans Koperal Muhammed Noor Hisyam Nawawi (tembak), Konstabel Dzairil Adzrine Din (teori) dan Lans Koperal Mohd. Faizal Abdulah (keseluruhan)

Berkongsi pengalaman, ACP Nordin Manan, 55, ketika ditemui memberitahu, faktor usia tidak menjadi penghalang buat dia untuk mengikuti kursus bersama-sama pelatih lain yang jauh lebih muda. Dia mengakui kursus yang mendedahkan pelatih dalam bidang penugasan infantri dan taktik pertempuran itu sememangnya mencabar dirinya yang baharu memikul tugas sebagai Timbalan Komander Briged Tenggara PGA di Kuantan, Pahang. Nordin yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memberitahu, kursus tersebut memberikan pengalaman baharu baginya dan pada masa sama menambahkan lagi pengetahuan dalam bidang kepolisan.

Dua pelatih terbaik keseluruhan kursus asas PGA, Asisten Superintendan Azhar Johar (kanan) bersama Lans Koperal Mohd. Faizal Abdulah.

“Sepanjang kursus kami dilayan sama seperti pelatih-pelatih lain kerana ini adalah kursus taktik, malah semua pegawai kanan perlu menanggalkan lencana pangkat.

“Memang ada sesetengah latihan yang benar-benar mencabar seperti jalan lasak dan peperangan hutan, namun ia perlu dilalui dan lulus untuk layak bergelar anggota PGA,” ujar bapa kepada lima orang anak ini.

Bagi pegawai 69 Komando, ASP Azhar Johar pula memberitahu, kursus berkenaan memberi ilmu pengetahuan baharu kepada dirinya walaupun telah mengikuti kursus-kursus kemahiran lain sebagai pegawai komando. Beliau yang berasal dari Oya, Sarawak menyertai 69 Komando lima tahun lalu sebelum itu bertugas sebagai pegawai Cawangan Khas di Perlis.

Azhar berkata, kursus itu penting kerana penuntut dilatih dengan kemahiran asas teknik penugasan PGA dalam aspek peperangan menentang insurgensi, peperangan konvensional dan ketenteraman awam.

“Banyak ilmu pengetahuan baharu yang saya perolehi sepanjang kursus ini terutama bidang tugas PGA khususnya membabitkan penugasan ketenteraman awam.

“Apa yang dipelajari semasa kursus asas PGA akan diguna sebaik mungkin apabila kembali ke pasukan,” ujarnya yang bertugas di Cawangan Risikan 69 Komando, Ulu Kinta di sini.

 -InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top