Pelantikan PAT, penyerahan LMS pertama buka tirai 2020

Tahun baru 2020 membuka tirai Kementerian Pertahanan (Mindef) menerusi pertukaran kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilantik sebagai Panglima ATM yang baharu bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Tidak mengejutkan banyak pihak kerana Affendi sebenarnya telah disebut-sebut sebagai individu paling layak untuk mengemudi ATM selain kedudukannya sebagai ‘jeneral’ paling kanan dalam kalangan panglima yang menerajui cabang perkhidmatan di dalam angkatan tersebut.

Pelantikan Affendi ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Panglima TUDM kedua yang dilantik menjadi Panglima ATM selepas Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang mengisi perjawatan ini pada tahun 2009 hingga 2011. Lantikan ini turut mencatat lebaran peribadi bagi beliau apabila menjadi anak kelahiran Sarawak yang dilantik sebagai Panglima tertinggi ATM. Sebelum ini, pelantikan Affendi sebagai Panglima TUDM turut membanggakan anak-anak bumi Kenyalang apabila buat pertama kali anak Sarawak dilantik ke jawatan itu.

Affendi menyertai ATM sebagai pegawai kadet TUDM pada tahun 1980 dan ditauliahkan sebagai juruterbang setahun kemudian. Ketika ini, semua pegawai kadet udara dan darat mengikuti latihan ketenteraan bersama-sama di Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan. Justeru, pegawai-pegawai generasi ini sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan rakan-rakan dari cabang darat. Beliau yang juga lebih dikenali dengan ‘call sign’ (nama panggilan) Apai merupakan juruterbang pesawat pejuang berpengalaman selain menjadi antara perintis penubuhan skuadron pesawat MiG-29N TUDM pada tahun 1993 bersama ketuanya ketika itu yang juga mantan Panglima TUDM, Jeneral (B) Tan Sri Rodzali Daud. Affandi juga antara pelopor bagi tim aerobatik terkenal TUDM, Smokey Bandit.

Majlis serah terima tugas antara Zulkifli dan Affendi dberlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. Terdahulu pada sebelah pagi, Zulkifli diraikan pada Majlis Istiadat Perbarisan Penghargaan di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana, Sungai Besi. Anak kelahiran Port Weld, Perak itu memulakan khidmatnya dalam ATM pada 30 Januari 1978 sebelum ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Melayu Diraja.

Imbas kembali, pelantikan Zulkifli sebagai Panglima ATM pada tahun 2018 juga tidak dijangka banyak pihak ketika itu apabila beliau yang sepatutnya bersara dan sedang memulakan cuti persaraan bermula 15 Mei 2018 dipanggil bagi mengisi jawatan tersebut. Zulkifli ketika itu telah melepaskan jawatannya sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM). Zulkifli dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) pada 14 Jun 2011, sebelum dipindahkan untuk menjadi Naib Canselor UPNM. Bagaimana pun, Majlis Angkatan Tentera yang bermesyuarat sebulat suara memilih Zulkifli untuk menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bagi menerajui ‘kerusi’ tertinggi angkatan tentera itu.

Ada harapan besar yang diletakkan pada bahu Affendi sebagai Orang No. 1 ATM oleh banyak pihak, bukan sahaja warga pasukank itu khususnya berhubung ‘lampu hijau’ bagi perolehan aset-aset baharu yang sememangnya diperlukan selain memacu pembangunan modal insan pada tahap lebih baik. Ini kerana sejak tiga tahun lepas, ada beberapa rancangan perolehan terpaksa ditunda sedangkan keperluan untuk meneruskan program pemodenan amat-amatlah diharapkan.

Sejak tahun 2012, kerajaan juga masih belum memuktamadkan cadangan perolehan pesawat pejuang baharu TUDM. Antara pilihannya ialah Eurofighter Typhoon buatan United Kingdom, Rafale (Perancis), Gripen (Sweden) dan F/A-18E/F Super Hornet (AS). Sepanjang tempoh itu, usaha melobi tidak putus-putus dilakukan oleh beberapa firma gergasi pertahanan. Perolehan melibatkan kos kira-kira RM7 bilion me­rupakan antara pembelian pertahanan yang terbesar di rantau ini biarpun keputusan mengenainya masih tertangguh, antaranya disebabkan kejatuhan harga minyak sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun, ia bakal menjadi satu pembelian strategik yang cukup signifikan kepada negara khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melaksanakan transformasi pemodenan.

TUDM di bawah pemerintahan Affendi merumuskan pelan transformasi yang dikenali sebagai Pembangunan Keupayaan 2055 atau CAP55. CAP55 merancang pelan pembangunan kemampuan TUDM sehingga tahun 2055 yang merangkumi perolehan dan peningkatan aset-aset TUDM baharu serta keupayaan yang hebat. Pelan ini menyasarkan keupayaan jet pejuang TUDM yang didokong oleh dua skuadron pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) dan skuadron pesawat LCA penggempur ringan (LCA). Visi TUDM adalah untuk menjadi sebuah kuasa udara yang unggul manakala misinya ialah untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara serta kepen­tingannya melalui penggunaan kuasa udara yang berkesan.

Sekurang-kurangnya 36 buah pesawat LCA dirancang untuk dimiliki terlebih dahulu bagi membolehkan angkatan ini mendapat teknologi dan keupayaan terkini. Sebelum LIMA 2019, media antarabangsa melaporkan Mindef telah memohon untuk mendapatkan permintaan maklumat (RFI) daripada beberapa pengeluar iaitu Korea Aeropspace Industries untuk pesawat FA-50, Leonardo (M346 FA) dan Yakolev (Yak-130). Selain itu, pesawat tempur dari Pakistan iaitu JF-17 Thunder dan HAL Tejas turut menerima RFI dari Malaysia.

Kali terakhir TUDM mengoperasikan aset terbaharu ialah kira-kira 12 tahun lalu menerusi perolehan Sukhoi Su-30MKM yang merupakan generasi termoden dalam keluarga Sukhoi. Pemilihan Sukhoi menepati keperluan geografi negara ke­rana ia mampu terbang jauh termasuk melakukan pengisian minyak di udara. Kemasukan pesawat Sukhoi SU-30MKM benar-benar memberi taring kepada TUDM kerana memiliki keupayaan tempur yang berganda. Kesimpulannya, ranca­ngan pemodenan TUDM tidak wajar bertangguh lagi.

Selain itu, TUDM juga dalam fasa memperincikan calon sesuai bagi pembelian sekurang-kurangnya empat buah pesawat rondaan maritim. Pada November tahun lalu, Affendi memberitahu bahawa TUDM sedang menjalankan penilaian terhadap pesawat rondaan maritim (MPA) dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) setelah diberi kelulusan peruntukan oleh pihak kerajaan. Namun katanya, penilaian akan dilakukan terhadap kedua-dua jenis pesawat itu dalam masa tiga tahun ini, sebelum TUDM melakukan pembelian serta perolehan terhadap aset-aset berkenaan. Menurut Affendi, pembelian itu dilakukan bagi mempertingkatkan keupayaan pasukan pada masa hadapan kerana kedua-dua jenis pesawat itu amat diperlukan bagi melaksanakan tugasan rondaan perairan negara terutama bagi operasi pemantauan di Laut China Selatan. Tentera Laut Diraja Malaysia pula memerlukan tiga buah kapal sokongan pelbagai peranan generasi mo­den bagi menjamin kedaulatan negara.

TLDM terima kapal perang baharu

Biarpun penyerahan kapal misi pesisir (LMS) terbaharu TLDM, KD Keris dianggap sedikit terlewat, tetapi ia setidak-tidaknya memberi kelegaan ketika angkatan laut ini bergelut dengan pengoperasian kapal-kapal era lampau. Penyerahan fizikal LMS ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penerimaan Akhir diketuai Setiausaha Bahagian Perolehan Mindef, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman di Wuchuan Shipbuilding

Industry Co. Ltd. Wucang Port, Qidong, Shanghai, China. Ini merupakan kapal pertama daripada empat buah kesemuanya yang ditempah menerusi Program Transformasi Armada 15 ke 5 TLDM. Hadir sama pada majlis itu ialah Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Syed Zahrul Putra Syed Abdullah mewakili TLDM.

Penyerahan ini sebagai simbolik kejayaan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) menyerahkan kapal kepada kerajaan. KD Keris telah berjaya melepasi beberapa siri ujian dan bakal ditauliahkan di lokasi sama Januari nanti yang akan disempurnakan oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.  KD Keris dibina pada 31 Julai 2018 seterusnya dilancarkan oleh isteri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu iaitu Normah Alwi pada 15 April tahun lalu.

Kontrak perolehan LMS ini telah dimeterai antara Mindef dengan BNSSB dua tahun lalu menerusi kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd. Dan merupakan pembelian kapal perang pertama TLDM dari China. Kapal kedua, KD Sundang dijadual diserahkan pada April depan manakala dua kapal terakhir pada pertengahan tahun 2021. LMS dengan saiz sepanjang 68 meter dan berat 710 tan ini mempunyai 45 kru serta 16 kru tambahan (misalnya membawa anggota Paskal atau tim-tim lain). Dengan jarak pelayaran sejauh 2,000 batu nautika dan mampu beroperasi di laut sehingga 15 hari, LMS yang dijana dengan dua enjin utama berkuasa 3,600kW mampu belayar pada kelajuan 22 knots. Persenjataan utama ialah satu laras Meriam automatik kaliber 30mm selain dipasang dua laras mesingan berat.

Pembelian kapal LMS kelas Keris ini sejak diumumkan kerajaan terdahulu ketika itu turut diberi pandangan negatif oleh pihak-pihak tertentu khususnya kaitan dengan isu hubungan erat Malaysia-China dan pelaburan besar negara itu ke sini. Bagaimana pun dengan keperluan yang mendesak, pembelian empat LMS ini China berupaya memenuhi keperluan semasa TLDM untuk melaksanakan misi-misi mencabar selain ia memenuhi standard piawaian antarabangsa. Pembelian itu juga sebagai menggantikan aset TLDM yang telah berusia serta memerlukan kos operasi yang semakin meningkat selain tidak efektif untuk menampung tugas-tugas operasi. Mengikut jadual asal, dua LMS dibina di China manakala bakinya akan dibina oleh BNSSB di limbungannya di Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Bagaimanapun, perancangan ini bertukar berikutan semakan semula kos projek ini oleh kerajaan apabila kesemua kapal-kapal akan dibina di China.

TLDM sebelum ini menyasarkan untuk memiliki 18 buah LMS dalam usaha memperteguhkan kawalan maritime negara. Memetik kenyataan bekas Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin pada satu temubual empat tahun lalu, pemilihan LMS dilihat sesuai dengan keperluan operasi TLDM khasnya bagi melaksanakan misi pesisir berbanding kapal-kapal peronda sedia ada yang telah mencecah usia 40 tahun. Walaupun bersaiz kompak, tetapi LMS memiliki ciri-ciri sebagai kapal ronda moden selain boleh diubah padan mengikut kesesuaian operasi. – Informasi Tempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top