Perang kekuatan AS, China

Hampir tiga minggu berada di perairan Laut China Selatan, kehadiran tiga buah kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) iaitu USS Bunker Hill,USS Barry bersama kapal serangan amfibia, USS America dilihat telah memberi kemenangan prestij kepada Washington.

Kapal-kapal ini milik Armada Ketujuh yang merupakan sebahagian daripada kekuatan Armada Pasifik Tentera Laut AS, iaitu cabang terbesar dalam angkatan laut negara itu.

Walaupun AS tidak terlibat dalam pertikaian tuntuntan di perairan tersebut khususnya di Kepulauan Spratly, tetapi negara kuasa besar dunia ini mempertahankan tindakan untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai wilayah laluan perkapalan yang bebas.

Sebuah frigat Tentera Laut Australia, HMAS Parratta pula menyertai pelayaran ini pada 23 Mac lalu. Keempat-empat buah kapal perang ini turut menjalankan latihan bersama di perairan tersebut.

Reaksi AS untuk berada di perairan ini juga sebagai amaran di atas tindakan China yang dilihat cuba mencabuli kedaulatan wilayah maritim negara-negara sahabat apabila meletakkan kapal-kapal pengawal pantai selain kapal perang.

Washington juga bertegas bahawa sebarang tindakan yang melibatkan pertindihan tuntutan di Laut China Selatan sekiranya membabitkan provokasi boleh mengancam kebebasan belayar serta hak pelayaran kapal-kapal.

Sebaliknya, Beijing pula mendakwa sebarang tindakan yang dilakukan selaras dengan tujuan untuk menguatkuasakan keamanan serta kestabilan di kawasan tersebut.

Kepulauan Spratly menjadi perebutan enam negara antara China dan Taiwan dengan empat anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Vietnam dan Filipina. Bagaimana pun, China bertindak paling agresif selain menuntut keseluruhan wilayah maritim berdasarkan hujah sejarah yang longgar.

Situasi sama juga berlaku pada Mei tahun lepas apabila AS mengetuai latihan perang empat negara di Laut China Selatan.

Kapal pembinasa USS William P Lawrence disertai kapal pembawa pesawat Jepun, Izumo, dua kapal perang India dan sebuah kapal peronda Filipina yang dilihat membawa mesej keras kepada China.

Sungguh pun begitu, China pernah melakukan provokasi ke atas kapal perang tentera asing sebagaimana yang terjadi semasa pelayaran kapal serangan amfibia Tentera Laut Diraja Britain, HMS Albion di Laut China Selatan dekat perairan Paracel pada September 2018.

Sebuah frigat China telah belayar rapat dengan HMS Albion yang ketika itu diiringi sebuah kapal perang. Dua buah helikopter tentera China turut terbang berdekatan untuk mengarahkan kapal Britain ini keluar dari perairan tersebut.

Kejadian ini mendapat bantahan London kerana bertegas HMS Albion yang dalam pelayaran ke Vietnam itu berada di laluan perkapalan bebas.

Harus diakui, kehangatan isu di Laut China Selatan yang sering pasang surut berlaku kerana ego negara-negara kuasa besar di wilayah maritim berkenaan.

Dalam pada itu pada Khamis lalu, kapal pembawa pesawat pertama milik China, Liaoning selamat kembali ke pangkalan utamanya di Qingdao selepas melengkapkan misi dan latihan pelayaran selama sebulan.

Mengiringi Liaoning ialah lima buah kapal perang untuk menjayakan pelayaran tersebut atau lebih tepat sebenarnya ialah tindakan China bagi mempamerkan kekuatan maritimnya kepada dua negara seteru iaitu Taiwan dan Jepun.

Misi kapal seberat 66,000 tan ini juga dilihat serangan Beijing kepada barat bahawa 2,000 pegawai dan kru kapalnya berada dalam keadaan siap siaga terutamanya bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.

Ini merupakan perang psikologi China ke atas AS setelah empat buah kapal pembawa pesawat AS terpaksa direhatkan daripada operasi di wilayah Indo-Pasifik termasuk berikutan wabak Covid-19.

(Artikel ini telah diterbitkan pada kolum Vanguard dalam akhbar Sinar Harian)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top