Perkasakan pengawasan maritim negara

Kecekapan juruterbang dan kru pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan sebuah bot pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya dekat Pulau Langkawi, Kedah pada Jumaat lalu telah berjaya mengekang cubaan menceroboh perairan negara.

Kehadiran bot berkenaan dikesan sebelum dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu dan KD Lekir dikerah ke lokasi berkenaan untuk memintas dan mengiringi bot keluar dari perairan negara.


Sebelumnya, pada 5 April seramai 202 PATI etnik Rohingya ditahan pihak berkuasa di pantai dekat Kampung Teluk Nibong, Langkawi.

Pencerobohan PATI ini hanyalah sebahagian daripada ancaman yang berlaku di perairan negara. Aktiviti menangkap ikan oleh kapal-kapal nelayan asing secara haram pula menyebabkan kecurian hasil laut dengan nilai mencecah berbillion ringgit.

Begitu juga dengan aktiviti melepaskan pencemaran minyak yang dilakukan oleh kapal-kapal dagang berhampiran perairan negara.


Sebagai negara yang meletakkan pertahanan kawan litoral sebagai medan utama untuk menyekat ancaman mahupun pencerobohan, sudah semestinya kemampuan melakukan pengawasan ini dituntut.
Atas sebab itu, keperluan TUDM untuk dilengkapi pesawat rondaan maritim (MPA) menjadi keutamaan biarpun cadangan ini kerap kali tertangguh antaranya disebabkan faktor kewangan.

Ini kerana pesawat C-130H TUDM memiliki keupayaan terhad untuk melaksanakan tugas pengawasan maritim sebenar. Tiga pesawat Beechcraft Super King Air B200T yang beroperasi sejak 26 tahun lalu pula tidak memadai.

MPA berperanan melakukan rondaan dan pemantauan kawasan maritim atau permukaan laut serta tugas-tugas yang berkaitan dengan peperangan atau operasi maritim.


Pesawat jenis ini mula diperkenalkan semasa era Perang Dingin untuk rondaan serta mencari, mengesan dan memburu kapal-kapal selam Soviet.

Ia juga boleh diperanankan untuk rondaan di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif. Apa yang menjadikan pesawat MPA lebih versatil ialah kemampuan untuk membawa sistem persenjataan dan melaksanakan serangan terhadap sasaran maritim secara fizikal.

Pesawat MPA juga mampu melaksanakan misi mencari dan menyelamat dengan baik terutama di kawasan pesisir pantai kerana sistem penderianya yang pelbagai dioptimakan terhadap kemampuan mengesan sasaran sukar pada permukaan air.

Semasa pembentangan Belanjawan 2018, kerajaan pada masa itu telah meluluskan pembelian empat pesawat MPA selaras dengan keperluan minimum TUDM bagi meningkatkan keupayaan melindungi sempadan maritim negara dan menangkis sebarang pencerobohan.

Antara pesaing untuk memenuhi keperluan MPA TUDM termasuklah pesawat C295 Airbus Defence Space buatan Perancis, CN235 PT Dirgantara Indonesia (PTDI), Leonardo ATR72 (Itali) dan P-8 Poseidon (Amerika Syarikat).

Bagaimana pun, perolehan ini dijangka hanya dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-12 nanti melibatkan sumber kewangan besar.

Bagi mengimbangi keperluan pengawasan tersebut, kerajaan Amerika Syarikat (AS) menerusi program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI) bersetuju membiayai kos mengubah suai dua daripada tujuh pesawat pengangkut CN-235 TUDM untuk dijadikan sebagai pesawat MPA.

Kerja-kerja pengubah suaian ini akan dilakukan oleh firma pengeluar pesawat tersebut, PTDI di Bandung dijangka pada penghujung tahun nanti. Firma ini telah melaksanakan program sama melibatkan tiga pesawat milik republik tersebut.

Dalam pada itu, TLDM turut menggandakan keupayaan pengawasan maritim apabila mengoperasikan sistem pemantauan udara tanpa pemandu (UAS) Scan Eagle II daripada AS juga menerusi program MSI.

Sistem UAS yang dilengkapi kamera beresolusi tinggi serta sistem pandang malam boleh dilancarkan daripada kapal peronda dengan keupayaan terbang sehingga 24 jam pada ketinggian kira-kira 5,000 meter selaju 48 knot untuk mengawasi samudera negara.

Dengan teknologi ini juga, pengawasan dan pertahanan maritim negara adalah setaraf dan mampu berdiri seiring dengan negara lain. – Informasi Tempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top