Perlu helikopter baharu ganti Nuri

Cadangan agar helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri diaktifkan semula bagi melaksanakan tugas-tugas sokongan logistik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berikutan kekurangan pesawat dillihat tidak sesuai walaupun kemampuan pesawat berkenaan tidak diragui.

Nuri yang berusia lebih 50 tahun diakui antara helikopter paling efektif, tahan lasak dan ampuh termasuk menyokong operasi tempur semasa era Insurgensi memerangi pengganas komunis.

Sehingga kini, helikopter jenis ini masih dioperasikan beberapa negara antaranya India, Belgium, Mesir dan Norway.

Bagaimana pun, ada alternatif lain yang boleh dipertimbangkan iaitu kaedah sewa guna atau Company Own and Military Operates (COMO) sekiranya TUDM benar-benar memerlukan helikopter tambahan untuk menyokong operasi semasa.

Ia bukanlah baharu, malah konsep ini telah pun dipraktikkan ATM sebelum ini.

Menerusi kaedah ini, kos sewaan sesuatu aset itu telah pun meliputi semua aspek termasuk kerja-kerja senggaraan dan alat ganti yang dilakukan oleh syarikat penyewa.

Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaktifkan kembali penggunaan helikopter Nuri, khusus bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan pedalaman ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini berikutan semua operasi ketenteraan ketika ini dilakukan sepenuhnya menggunakan helikopter EC725, termasuk bagi menghantar bantuan makanan kepada penduduk, terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Pada Januari lalu, TUDM memutuskan agar khidmat kesemua 12 buah helikopter Nuri yang masih ada dihentikan daripada menyertai pelbagai bentuk misi yang disifatkan sebagai terlalu uzur untuk digunakan.

Susulan tindakan ini juga, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang mengoperasikan helikopter Nuri bekas kepunyaan TUDM tetapi telah dinaik taraf mengambil langkah serupa bagi menimbang semula kesesuaian operasi pesawat berkenaan.

TUDM ketika ini mengoperasikan 12 buah helicopter Eurocopter EC725 yang ini dibeli kerajaan pada 2007 dengan tujuan menggantikan Nuri susulan kejadian nahas yang berlaku di hutan Gunung Bunga Buah dekat Genting-Sempah pada tahun tersebut.

Berbeza dengan Nuri, TUDM memilih pesawat EC725 bukan untuk melaksanakn tugas-tugas pengangkutan kargo semata-mata tetapi bagi kesesuaian doktrin operasi TUDM termasuklah dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) serta mencari menyelamat tempur. (CSAR).

Operasi CSAR memerlukan sebuah helikopter yang boleh terbang pantas, dilengkapi alatan navigasi, beroperasi pada keadaan cuaca ekstrem serta dilengkapi persenjataan.

Sebab itu beberapa buah daripada helicopter EC725 TUDM ini telah dilengkapi dengan alat-alat tambahan untuk melaksanakan operasi kombat yang bersesuaian.

Cadangan TUDM untuk memperolehi sekurang-kurangnya 24 buah helicopter EC725 bagaimanapun tidak berlaku apabila tiada pembelian selanjutnya dilakukan.

Justeru, adalah wajar sekiranya TUDM dipertimbang mengoperasikan helikopter pengangkut untuk tugas-tugas pelbagai guna menerusi kaedah COMO.

Konsep ini bersifat jangka pendek, lebih menjimatkan kos operasi dan pengurusan aset.

Misalnya, TUDM boleh menyewa lima buah helikopter untuk kegunaan pengangkutan bagi tempoh tertentu. Pesawat boleh diterima segera tanpa menunggu lama.

TUDM ketika ini telah menyewa lima buah helikopter Eurocopter EC120B Colibri milik syarikat persendirian bagi melatih juruterbang-juruterbang baharu di Kolej Tentera Udara di Alor Setar, Kedah.

Helikopter EC120B Colibri menggantikan Alouette III yang setelah dioperasikan lebih 50 tahun.

ATM juga pada 2016 menyewa 20 buah bot pemintas berkuasa tinggi jenis Viper dan Stingray untuk tugasan Ops Pasir di Sabah. Ia bagi menggantikan bot-bot lama untuk di tempatkan di kawasan Sandakan, Semporna dan Kudat.

Menerusi sewaan ini, ATM telah menetapkan bahawa syarikat penyewa perlu memastikan 90 peratus bot boleh beroperasi pada setiap masa di mana bot ganti perlu disediakan sekiranya terdapat bot rosak atau perlu diselenggara. – Informasi Tempur

Nota: Artikel sama telah disiarkan dalam kolum Vanguard akhbar Sinar Harian.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top