Permainan perang ‘realiti maya’ Bukit Chandu

Permainan realiti maya (VR) sememangnya mengasyikkan. Seseorang pemain boleh meraih pengalaman imersif dalam dunia satu permainan VR berbanding permainan video konvensional sehingga tidak menyedari masa berlalu.  Simulasi latihan menggunakan VR juga bukan lagi asing dalam pasukan tentera termasuklah di Malaysia. Menerusi kecanggihan teknologi, ia boleh mencipat simulasi yang ‘sukar’ dilakukan sepertimana latihan kaedah biasa. Tentera Darat British misalnya melabur kira-kira £1 juta bagi membangunkan VR berteknologi terkini bagi tujuan latihan. Tidak mustahil teknologi VR anak watan juga boleh dimanfaatkan oleh pihak industri pertahanan tempatan sekiranya diberi sumber dana mencukupi.

Permainan VR hampir semua berbentuk role-playing game (RPG). Ini bermakna, pemain akan menjadi karakter dalam satu-satu permainan dan dia akan dikelilingi persekitaran tiruan tiga dimensi (3D) yang dapat dilihat menerusi peranti head-mounted display (HMD).  Pemain juga kebiasaannya akan dilengkapi dengan alat lain seperti alat kawalan jauh bagi membolehkan aksi pemain ditiru oleh karakter dalam permainan itu. Peralatan lain juga disediakan mengikut genre dan kesesuaian permainan. Antara genre permainan yang sudah dibangunkan dalam permainan VR ialah sukan, menembak, perang, kombat dan pengembaraan.

Tidak mahu ketinggalan dengan gelombang teknologi yang mengujakan ini, dua pelajar Kursus VR, Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya membangunkan permainan VR mereka tersendiri.  Permainan itu menjadi lebih unik dan menarik apabila memasukkan elemen sejarah tempatan ke dalam permainan berkenaan. Permainan yang diberi judul Chandu: The Malay Regiment itu membawa pemainnya mengimbau zaman penjajahan Jepun di Malaya semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1942.

Paparan permainan VR ‘Chandu: The Malay Regiment’.

Ia hasil gabungan kreativiti Pensyarah Jabatan VR, Fakulti Multimedia Kreatif, MMU, Dendi Permadi yang menyelia permainan itu dan kedua-dua pelajar, Adnan Arif Jazlan dan Caleb Yong.  Adnan berkata, permainan itu dibangunkan pada tahun lalu sebagai tugasan untuk pelajar tahun kedua Kursus VR, Fakulti Multimedia Kreatif.

“Kami diminta membangunkan permainan VR yang mempunyai unsur-unsur pendidikan bertemakan sejarah tempatan. Kami menyenarai beberapa tokoh sejarah seperti Yeop Mahidin, Hang Jebat dan Mat Kilau.

“Saya mengambil sedikit masa untuk meyakinkan pensyarah bahawa pemililhan Leftenan Adnan bukan disebabkan nama saya yang sama dengan tokoh itu,” ujarnya.

Leftenan Adnan akhirnya dipilih kerana unsur-unsur patriotism untuk mengingatkan generasi muda tentang pengorbanan wira negara. Selain itu, perincian maklumat mengenai Leftenan Adnan dan pertempuran di Bukit Chandu itu lebih banyak berbanding tokoh lain.

Ia dimodelkan seakan-akan permainan Call Of Duty namun mempunyai ciri Malaysia selain memberikan pengalaman imersif yang ditawarkan oleh teknologi VR. Projek itu berjalan selama tiga bulan dari Julai hingga September 2018. Menceritakan proses membangunkan Chandu: The Malay Regiment, Adnan berkata, langkah pertama selepas memberikan cadangan tokoh ialah mengumpulkan fakta mengenai pertempuran itu.

“Selain kajian mengenai kronologi, jenis senjata dan uniform, kami juga melakukan kajian mengenai tumbuhan, landskap dan bentuk muka bumi untuk dimasukkan ke dalam visual permainan.

“Kami berkunjung ke Mini Malaysia, Ayer Keroh, Melaka bagi mengkaji struktur dan binaan-binaan lama pada era itu,” tambahnya.

Adnan berkata, akibat kekangan masa dan kewangan, mereka tidak dapat berkunjung ke Seberang Tambak bagi melihat sendiri Bukit Chandu, namun mendasarkan input visual mereka daripada filem Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman.  Caleb pula berkata, Chandu: The Malay Regiment menyaksikan jalan cerita yang berbeza dengan kebanyakan permainan lain kerana pemain yang menjadi Leftenan Adnan tidak boleh menang.

“Kami tidak mencipta situasi yang memenangkan pemain. Ini kerana Leftenan Adnan terkorban dan pasukannya ditewaskan oleh Jepun di Bukit Chandu, jadi macam mana cara pun, pemain akan tetap kalah,” ujarnya.

Permainan ‘Call Of Duty’ yang menjadi kegilaan dalam kalangan pemain kaki perang alam maya turut mencipta keuntungan jutaan dolar. Tidak mustahil ‘Chandu: The Malay Regiment’ boleh mengikut jejak sama di samping misi memperkasakan semangat patriotik kepada pemain VR tempatan.

Tambahnya, ini kerana mereka mahu kekalkan unsur sejarah dalam permainan berkenaan.  Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan permainan itu, Caleb berkata, kekangan masa sebagai pelajar selain tempoh masa yang begitu singkat adalah cabaran terbesar pasukannya.

“Kami harus menyiapkan tugasan subjek lain, jadi ada banyak perkara yang terlepas pandang semasa membangunkan permainan ini antaranya, perincian uniform Askar Melayu yang mendapat teguran daripada peminat ketenteraan di laman sosial kerana ia kurang tepat,” jelas Caleb.

Bagaimanapun katanya, ia boleh diperbaiki menerusi platform Oculus yang digunakan untuk permainan berkenaan.  Platform Oculus adalah pengalaman VR imersif yang membolehkan penggunanya melakar, memodel, mengecat dan membuat objek ketara dalam persekitaran VR. Ia banyak digunakan untuk permainan video VR.

“Pemain perlu memakai satu set HMD dan menggunakan pistol yang dipasang pada alat kawalan jauh untuk bergerak dan menembak.

“Pergerakan karakter dari satu tempat ke satu tempat dalam permainan itu menggunakan teknik rentas jarak menerusi alat kawal jauh dan bukan berjalan menggunakan VR treadmill yang tiada dalam inventori kami kerana kosnya mencecah RM50,000,” katanya.

ADNAN bermain Chandu: The Malay Regiment menggunakan HMD dan alat kawalan jauh yang dipasangkan pistol untuk menembak musuh. (Foto: Ahmad Mustakim Zulkifli)

Bagi peringkat prototaip tersebut, pemain akan bermula dengan sesi latihan bersama pasukan Askar Melayu. Kemudian diteruskan ke pertempuran Bukit Chandu secara berperingkat. Pembangunan permainan itu asalnya dihentikan kerana tugasan tahun kedua itu sudah selesai, manakala para pelajar terlibat menyiapkan tugasan tahun akhir. Namun kini, ia diteruskan sebagai projek sampingan para pelajar.

“Kami membuat keputusan untuk meneruskan projek ini selepas mendapat maklum balas netizen yang menggalakkan. Mereka khususnya peminat permainan video mahu Chandu: The Malay Regiment direalisasikan,” jelasnya.

Sementara itu, Dendi yang menyelia kedua-dua pelajar berkenaan berkata, kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila terpilih untuk menjadi pemenang pingat emas untuk dua pertandingan.

“Pertandingan pertama, Research Innovation Commercialisation and Entrepreneurship Showcase 2018 diadakan di peringkat universiti.

Kebolehan anak-anak tempatan membangunkan permainan VR wajar diambil kesempatan oleh industri pertahanan tempatan untuk membina kerjasama bagi tujuan membangunkan teknologi sedemikian untuk ditawarkan kepada pihak tentera.

“Kemenangan dalam pertandingan itu melayakkan pasukan ini menyertai Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2019 di Kuala Lumpur. Mereka turut menerima pingat emas untuk kategori teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), telekomunikasi dan audio visual pada ITEX 2019,” tambahnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan masa depan projek tersebut, Dendi berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan dana daripada pelbagai pihak untuk menyiapkan prototaip itu menjadi satu permainan yang lengkap dan boleh dimainkan orang ramai.

“Kami telah memasukkan permainan ini ke dalam platform pengedaran digital permainan video, Steam namun hanya akaun kami yang boleh mengaksesnya. Kami merancang untuk membuka permainan ini untuk dimainkan pengguna platform itu setelah siap,” ujarnya.  Tuah mereka juga tidak terhenti setakat itu apabila permainan tersebut berjaya disenarai pendek sebagai finalis Anugerah Sukan SEA di Level Up KL 2019 anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia.

Dari kiri: Dendi, Adnan dan Caleb (Foto: Ahmad Mustakim Zulkifli)

-InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top