Prestij kapal pembawa pesawat

Mengoperasikan kapal pembawa pesawat menonjolkan status kekuatan bagi mana-mana angkatan laut dunia dan dalam hal ini, sudah semestinya keupayaan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) digeruni.

AS mengoperasikan 11 buah kapal pembawa pesawat berkuasa nuklear yang boleh membawa 80 buah jet. Kapal kelas ini menjadi tunjang dalam armadanya selain menonjolkan pengaruh strategik AS pada pentas antarabangsa.

Sebuah helikopter SH-60H Sea Hawk terbang melintasi kapal pembawa pesawat USS Theodore Roosevelt.

Sebab itu China cita-cita untuk menjadi kuasa maritim di rantau Asia sejak 30 tahun lalu dipandang sebelah mata oleh barat sehinggalah ia mengoperasikan kapal pembawa pesawat pertamanya, Liaoning.

Liaoning asalnya kapal kelas Admiral Kuznetsov yang dibina semasa era Soviet pada tahun 1985 sebelum dihentikan dan dijual oleh firma Ukraine kepada China pada tahun 1998.

Kapal ini telah dibina semula di Limbungan Perkapalan Dalian, China lalu dikenali sebagai Type 001 dan ditauliahkan ke dalam angkatan laut negara itu pada tahun 2012. Kini ia merupakan kapal pembawa pesawat terbesar di Asia Pasifik seberat 66,000 tan iaitu kira-kira 39,000 tan lebih berat daripada kapal pembawa helikopter Izamo milik Pasukan Pertahanan Jepun.

Liaoning bukan sekadar untuk mempamerkan kekuatan tetapi juga menjadi alat diplomasi Beijing, misalnya memberi bantuan semasa misi kemanusiaan dan bencana alam serta digunakan sebagai platform latihan bersama tentera negara-negara sahabat. Menerusi penglibatan sedemikian, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa China merupakan sebuah kuasa laut yang berwibawa.

Pengoperasian kapal Liaoning mendekatkan lagi cita-cita China untuk menjadi kuasa maritim di Asia walaupun impian itu sebenarnya masih jauh.

Biarpun sehingga kini penugasan Liaoning masih belum jelas, tetapi ia telah memberikan kemenangan prestij selain berjaya mempamerkan kesungguhan China untuk membangunkan keupayaan angkatan lautnya sejajar dengan visi politik Beijing untuk muncul sebagai negara kuasa masa hadapan.

Ini kerana untuk memiliki angkatan laut kelas dunia, China juga perlu  mempunyai industri pembinaan kapal berkelas global.

Buktinya, China berjaya membina kapal pembawa pesawat sendiri, Shandong yang ditauliahkan pada 17 Disember lalu. Shandong dibina berasaskan kapal Liaoning tetapi dengan ciri lebih baik untuk membawa 32 buah pesawat pejuang J15 dan 12 buah helikopter.

Seperti China, India juga perlu untuk menggandakan kedudukannya sebagai negara kuasa maritim apabila mengoperasikan kapal pembawa pesawat Vikramaditya yang dahulunya Admiral Gorshkov milik Soviet.  Sejak 30 tahun lalu ia mengoperasikan kapal pembawa pesawat terpakai, INS Viraat berusia 50 tahun.

Kapal pembawa pesawat INS Vikramaditya (bawah) semasa belayar bersama kapal pembawa pesawat INS Viraat yang telah dilucutkan tauliah. India memerlukan sekurang-kurangnya tiga buah kapal pembawa pesawat untuk benar-benar mampu beroperasi.

India yang dibayangi dengan isu-isu kepentingan di Lautan Hindi memerlukan sebuah kapal pembawa pesawat baharu tetapi tidak terlalu besar manakala kos operasinya pula tidak tinggi. Proses membina semula kapal seberat 45,000 tan ini mengambil masa empat tahun dengan kos kira-kira AS$2.35 bilion.  Kapal ini yang ditauliahkan pada 2013 boleh membawa 30 buah pesawat seperti MiG-29K, MiG-29KUB dan 10 helikopter.

Kini, India sedang membina kapal pembawa pesawat keduanya, Vikrant di limbungan perkapalan negara itu di Kerala.

Biarpun Rusia berada dalam kategori kuasa tentera laut global dengan jumlah kapal-kapal perang serta kapal selam berkuasa nuklear yang ampuh, ia bagaimana pun dilihat masih kekurangan kerana tiada kapal pembawa pesawat yang besar. Rusia hanya memiliki sebuah kapal pembawa pesawat iaitu Admiral Kuznetsov yang dibina semasa era Soviet.

Tidak seperti Amerika Syarikat, Rusia meletakkan kekuatan ketenteraan pada angkatan daratnya namun Moscow masih melihat ia perlu memiliki kapal pembawa pesawat bagi mengawasi kawasan maritimnya.

Berbanding AS, tunjang kekuatan Moscow adalah pada angkatan daratnya. Justeru, hasrat Rusia untuk membina kapal pembawa pesawat termoden menarik perhatian.

Siap kelak, Shtorm dengan berat 100,000 tan boleh membawa sehingga 90 pesawat. Secara tidak langsung ini menunjukkan Moscow masih perlu menunjukkan kekuatan dalam melindungi kepentingan geopolitik Rusia.

Kapal pembawa pesawat kelas Kiev milik Soviet memiliki ciri-ciri unik kerana ia juga merupakan kapal pembinasa kerana dilengkapi dengan sistem peluru berpandu kruis menjadikan ia sebagai kapal perang yang menggerunkan.

Informasi Tempur

(Nota: Artikel ini telah disiarkan dalam kolum Vanguard akhbar Sinar Harian)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top