Provokasi untuk pamer kehebatan

Isu ketegangan di Laut China Selatan memasuki fasa baharu apabila China akhirnya mengarahkan kapal hidrografi, Haiyang Dizhi 8 beredar dari kawasan perairan Malaysia setelah hampir sebulan berada di situ.

Kehadiran Haiyang Dizhi 8 sebenarnya mengganggu aktiviti penggalian minyak dan gas oleh kapal West Capella yang disewa Petronas dekat perairan tersebut selain rondaan kapal-kapal pengawal pantai China dan kapal perang.

Beberapa tahun lalu Beijing difahamkan pernah menawarkan kerja-kerja penyelidikan gas kepada syarikat asing di sini, tetapi dibatalkan. Vietnam juga dipercayai melakukan kerja-kerja penggalian di kawasan miliknya dekat perairan ini.

Haiyang Dizhi 8 belayar keluar dari kawasan itu pada pagi Jumaat iaitu selepas West Capella menghentikan operasinya dan kembali ke Teluk Brunei.

Kapal pengawal pantai China dan kapal militia maritim yang dikerah mengiringi kapal hidrografi itu pula menuju ke bahagian lain di Laut China Selatan.

Beijing sebenarnya sengaja menggunakan kapal hidrografi menceroboh perairan negara lain sebagai strategi untuk melihat tindak balas.

Pada Jun tahun lalu, Haiyang Dizhi 8 telah mengganggu aktiviti serupa oleh kapal Hakuryu 5 yang disewa Vietnam dekat perairan negara itu. Sekurang-kurangnya empat kapal pengawal pantai China berada di perairan ini sepanjang tempoh sebulan tersebut.

Sebelumnya pada bulan Mei, kapal pengawal pantai China melakukan provokasi dekat kawasan penggalian minyak milik Shell dalam perairan Malaysia.

Perkembangan di Laut China Selatan ini dilihat memberi kemenangan prestij kepada Amerika Syarikat (AS) yang sepanjang tempoh sama mengerah kapal serangan amfibia, USS America dan dua kapal perangnya berada di perairan tersebut sebagai membantah tindakan China membuli negara-negara tetangga.

Beberapa hari sebelum pengunduran Haiyang Dizhi 8, AS telah bertindak lebih berani apabila menghantar dua buah kapal tempur pesisir (LCS), USS Gabrielle Giffords dan USS Montgomery bersama kapal logistik, USNS Cesar Chavez beroperasi tidak jauh dari West Capella.

Mesejnya jelas iaitu hasrat Beijing untuk mendominasi Laut China Selatan yang merupakan laluan pelayaran terbuka tidak dipersetujui.

Dengan saiz sepanjang 127 meter serta berat 2,300 tan, USS Gabrielle Giffords dan USS Montgomery tidaklah begitu hebat berbanding lain-lain aset tempur sedia ada dalam armada Tentera Laut AS.

Bagaimana pun, LCS berbentuk trimaran (tiga rangka badan) ini merupakan kapal tempur generasi baharu yang dibina mengikut doktrin pertahanan maritim terkini AS untuk ditugaskan pada mana-mana kawasan operasi atau zon konflik.

Kapal-kapal ini kendalian Skuadron Kapal Pemusnah ke-7 yang berpangkalan di Singapura sebagai barisan hadapan memastikan keselamatan maritim Indo-Pasifik khususnya di wilayah Asia Tenggara.

Selain kelajuan 40 knot, taring utama LCS ini ialah lapan sistem peluru berpandu RGM-184A Naval Strike Missile (NSM) buatan Raytheon yang mampu memusnahkan kapal lebih besar sejauh 100 batu nautika.

Teknologi terkini NSM menyebabkan ia digeruni. Ia juga dilengkapi dengan sistem pertahanan udara RIM-116B SeaRAM yang berupaya menangkis serangan peluru berpandu berkelajuan supersonik dan sub sonik.

Pada Oktober tahun lalu, peluru berpandu NSM yang dilancarkan USS Gabrielle Giffords berjaya menenggelamkan ‘kapal musuh’ dalam siri latihan yang dilakukan di perairan Filipina. Ia juga merupakan julung-julung kali peluru berpandu NSM diuji di perairan Indo-Pasifik.

Justeru, dua LCS kecil ini sudah cukup untuk menggerunkan Beijing sekiranya cuba bertindak keterlaluan.

Biarpun melakukan provokasi kepada negara-negara serantau berhubung isu penguasana di Laut China Selatan, namun Beijing dilihat tidak dangkal untuk mencetuskan perang di sini.

China mempamerkan kuasa maritimnya bagi menunjukkan kemampuan untuk melaksanakan operasi jauh dari tanah besar bagi tempoh yang panjang sejajar dengan status sebagai kuasa laut kedua terbesar dunia.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top