Serangan loji minyak Arab Saudi memalukan AS

Insiden serangan ke atas dua loji minyak Arab Saudi pada awal pagi Sabtu lepas yang didakwa dilancarkan pemberontak Yaman menyaksikan ketengangan baharu dalam krisis di Teluk membabitkan dua negara serantau iaitu Arab Saudi dan Iran.

Serangan menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais, kedua-duanya milik firma Aramco telah mengganggu kira-kira separuh penghasilan keseluruhan syarikat berkenaan.

Ia membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan atau bersamaan 5.7 juta tong minyak mentah sehari.

Ketika ini kerja-kerja membaiki kerosakan loji giat dijalankan untuk menyambung pengeluaran yang dijangka mengambil masa kira-kira 10 minggu, bagaimanapun tempoh sebenar mungkin lebih lama berdasarkan kerosakan teruk.

Peta menunjukkan kedudukan loji penapis minyak milik Aramco serta sempadan Yaman dengan Arab Saudi.

Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi ini adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.

Pemberontak Houthi mendakwa mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu.  Sehingga kini tidak dijelaskan bagaimana serangan dron berkenaan boleh dilancarkan oleh musuh dan mengenai lokasi-lokasi strategik tersebut.

Pemberontak Houthi pada Ahad lalu memaklumkan kesediaan menghentikan serangan ke atas wilayah Arab Saudi yang dilihat sebagai membuka jalan menamatkan konflik di Yaman yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo menyalahkan Iran di atas serangan itu dengan dakwaan cuba melumpuhkan bekalan tenaga dunia. Dia turut menyatakan tiada bukti menunjukkan serangan dilancarkan dari Yaman yang terletak lebih 1,000 kilometer dari lokasi serangan.

Pasukan pengawal pantai Iran yang dilengkapi dengan bot bersenjata sedia memberikan ancaman kepada kapal-kapal perang musuh di perairan Teluk.

Sebagai negara kedua terbesar di Teluk dan 17 di dunia, pilihan AS atau Arab Saudi untuk berperang dengan negara Parsi yang memiliki kira-kira 560,000 tentera,1,500 kereta kebal dan 300 buah pesawat udara ini bukan mudah.

Ia jauh berbeza dengan kempen AS ke atas Iraq, Afghanista dan Libya sebelum ini yang mudah diceroboh selain kedudukan wilayah-wilayah proksi Tehran yang bersempadan.

Tehran dan Riyadh tidak pernah berperang, sebaliknya konflik terarah kepada perang proksi di beberapa wilayah yang bergolak. Ini menguatkan lagi andaian kalangan pemerhati pertahanan serantau bahawa ketegangan terbaharu ini tidak akan bertukar menjadi konflik ketenteraan melibatkan kedua-dua negara.

Sejak puluhan tahun, Arab Saudi dan Iran dibayangi isu-isu keselamatan di perairan Teluk. Bagi AS dan negara-negara barat lain pula, laluan ini penting buat mereka dan sebarang konflik yang timbul boleh merencatkan pelayaran kapal-kapal dagang sekali gus menjejaskan ekonomi.

Serangan udara ke atas dua loji mimyak Arab Saudi memberi tamparan sejauhmana keberkesanan system pertahanan udara negara itu yang dibekalkan AS seperti sistem misil Patriot.

Bagaimana pun, isu paling ketara di sebalik ketegangan yang timbul ialah sejauhmana keberkesanan sistem pertahanan udara Arab Saudi kebanyakannya dibekalkan oleh AS yang disifatkan sebagai yang terbaik di rantau berkenaan.

Antaranya enam batalion sistem peluru berpandu Patriot, I-Hawk, Shahine selain puluhan meriam anti pesawat jenis Oerlikon.

Sistem pertahanan udara Arab Saudi dibangunkan pada tahun 1990 berikutan Perang Iran-Iraq serta susulan Perang Teluk di mana pesawat udara dan sistem peluru berpandu balistik merupakan ancaman medan tempur ketika itu.

Arab Saudi juga merupakan negara ketiga di dunia yang memiliki belanjawan pertahanan terbesar termasuk memeterai perolehan berjumlah USD$110 bilion dengan pentadbiran Donald Trump.

Ugutan AS untuk menghantar armada kapal-kapal perangnya ke perairan Teluk bagi menggempur Iran tidak pernah menggentarkan negara Parsi itu selain belum ada mana-mana negara yang berani menceroboh Iran selepas era Revolusi 1979.

Justeru bagi menutup aib, Washington bersedia mengatur gerak aset-aset tambahan miliknya ke Arab Saudi dalam masa terdekat bagi menekang ancaman seterusnya. Sebuah kapal perangnya, USS Nitze kini dalam pelayaran ke perairan Teluk bagi membantu Arab Saudi.

Sementara itu, menurut penganalisis geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor, serangan udara ke atas loji minyak Arab Saudi ini memberi perspektif baharu dalam konteks peperangan hari ini terutama sejauhmana keberkesanan sebuah tentera moden berhadapan dengan musuh dengan kekuatan kerdil.

Beliau berkata, banyak pihak meragui kemampuan puak Houthi melancarkan serangan berkenaan yang dilihat sebagai sangat terancang dengan sistem kawalan pelancaran yang berkesan.

Pejuang Houthi yang seringkali digambarkan sebagai lemah sebenarnya disokong oleh tentera Yaman yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdallah Salleh.

“Jika melihat kepada konflik di sempadan Yaman yang berlaku sejak tahun 2015, tentera Arab Saudi kerap tidak mampu melawan taktik peperangan tidak simetri (asimetrik) yang digunakan pemberontak Houthi.

“Dalam konflik ini, puak pemberontak kerap digambarkan sebagai anggota kabilah Houthi berfahaman Syiah. Apa yang jarang sekali ditonjolkan ialah kekuatan sebenar mereka terletak pada kumpulan tentera profesional yang pernah berkhidmat dalam tentera Yaman di bawah bekas Presiden Ali Abdallah Salleh,” ujarnya.

Kata Muhammad Fuad, berdasarkan analisis berkemungkinan pemberontak Houthi  melancarkan peluru berpandu ke atas wilayah Arab Saudi, roket atau sistem pesawat tanpa pemandu menggunakan isyarat Sistem Penjejak Global (GPS).

Konflik Yaman mempamerkan keberkesanan sistem roket jarak sederhana yang begitu berkesan membedil kedudukan musuh dengan memberikan impak yang maksima.

Jelas beliau lagi, kedudukan loji minyak Arab Saudi yang terletak di kawasan terbuka dan luas menjadikan ia lokasi serangan mudah apatah jika musuh melancarkan berpuluh-puluh roket atau peluru berpandu pada satu-satu masa.

“Pemberontak Yaman sebelum ini pernah melancarkan serangan roket jarak dekat dan jarak sederhana pada bandar berhampiran sempadan. Ini termasuk melancarkan roket jenis Hwasong-6 (versi Scud C buatan Rusia) milik tentera Ali Abdallah dengan jarak sehingga 500 kilometer.

“Dakwaan serangan dron oleh Arab Saudi kedengaran lebih sofisikated, tetapi perhatian terhadap konflik ini yang lebih utama sebenarnya ialah kegagalan AS dengan kelengkapan perang paling canggih untuk melindungi Arab Saudi dan rantau Teluk,” ujar Muhammad Fuad.

Walaupun merupakan system persenjataan lama era Soviet namun Scud masih digeruni pihak lawan termasuk kemungkinan dilancarkan oleh pejuang Houthi ke atas sasaran di Arab Saudi.

 -InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top