Uji kecekapan komando ATM

Bagi mana-mana pasukan khas di dunia sekali pun, tidak pernah ada gelaran sebagai komando terbaik diberikan. Ini kerana istilah terbaik itu hanya datang apabila mereka berjaya menyempurnakan misi atau tugasan masing-masing. Apa yang pasti, tiada istilah gagal dalam tugas kerana anggota komando dilatih khusus selain membawa nama pasukan.

Lencana bahu ‘Special Forces Ultimate Challenge 2019’ yang memaparkan logo ketiga-tiga pasukan khas ATM. (Kredit foto: BTDM)

Bergelar sebagai anggota pasukan khas atau komando memberikan kebanggaan tersendiri kepada si pemakainya, bukan atas faktor kebanggaan tetapi satu penghormatan kerana berjaya memiliki gelaran tersebut. Dalam konteks Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ketiga-tiga cabang pasukan khas iaitu Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau) memiliki kelebihan masing-masing dengan cabaran tugas berbeza.

Bukan untuk dijadikan kayu pengukur atau mengiktiraf mana yang lebih baik, tiga pasukan khas ATM menguji keupayaan masing-masing dalam satu sirkit pertandingan khusus dalam ‘Special Forces Ultimate Challenge 2019’ atau Pertandingan Kepakaran Pasukan Khas ATM. Pertandingan berkonsepkan operasi pasukan khas yang julung-julung kali diadakan bertujuan menilai serta menguji aspek fizikal, mental dan kepakaran tim-tim yang bertanding selain pada masa sama mendedahkan mereka kepada corak sama yang sering dianjurkan pada peringkat antarabangsa.

Tim Paskau semasa menyempurnakan misi menyelamatkan tebusan iaitu salah satu daripada disiplin yang dipertandingkan.

‘Special Forces Ultimate Challenge 2019’ berlangsung selama lima hari yang berakhir pada 22 September lalu di sekitar Tanjung Dawai dan Gurun, Kedah ini juga merupakan salah satu pengisian aktiviti sempena sambutan Hari ATM Ke-86 yang dikelolakan oleh Markas ATM.

Pertandingan yang berkonsepkan operasi pasukan khas di dalam melaksanakan misi menyelamat tebusan di kawasan musuh ini melibatkan empat disiplin yang perlu dilaksanakan oleh setiap kumpulan. Pada pertandingan ini, enam kumpulan terlibat di mana penyertaan dari setiap pasukan khas masing-masing melibatkan 2 tim pasukan yang terdiri dari 6 anggota dalam setiap tim.

Seorang anggota ‘sniper’ sedang membidik sasaran pada ‘Special Forces Ultimate Challenge 2019’. (Foto Kredit: BTDM)

Pertandingan turut melibatkan penggunaan aset khusus iaitu pesawat Eurocopter EC 725 AP dari No 10 Skuadron TUDM. Pesawat tersebut telah digunakan untuk melaksanakan dua daripada empat disiplin iaitu HELO Casting, ujian komunikasi darat ke udara, Hot Extraction dan juga Abseiling dalam memenuhi keperluan misi setiap pasukan yang menyertai pertandingan tersebut.

Penggunan aset udara seperti helikopter EC 725 ini secara tidak langsung turut menguji keupayaan kru pesawat menyempurnakan operasi khusus.

Secara tidak langsung, ianya turut menguji kecekapan dan kesiapsiagaan kesemua kru pesawat dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

Pada akhir pertandingan, pasukan GGK diumum sebagai johan keseluruhan apabila memenangi tiga daripada empat disiplin yang dipertandingan. Paskau pula diumum sebagai naib johan keseluruhan apabila berjaya mendapat tempat pertama bagi acara mendayung.  Majlis penutup yang dilaksanakan  di Lapangsasar Kem Hobart, Gurun, Kedah ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan dihadiri Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan panglima-panglima ketiga-tiga perkhidmatan.

KEPUTUSAN RASMI SFUC 2019:

  1. DISIPLIN 1: PASKAU B
  2. DISIPLIN 2: GGK B
  3. DISIPLIN 3: GGK A
  4. DISIPLIN 4: GGK A
  5. TIM TERBAIK: GGK B
  6. JOHAN KESELURUHAN: GGK
Pasukan GGK menggungguli tiga daripada empat disiplin yang dipertandingan untuk bergelar juara kali pertama ‘Special Forces Ultimate Challenge 2019’ . (Foto kredit: BTDM)

-InformasiTempur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top