UTK PDRM jaguh ujian rentas halangan Jabatan KDNKA 2020

(Kredit Foto: Briged Utara PGA Ulu Kinta)

Bukan sehaja mengerah keringat, malah kekuatan fizikal dan mental menjadi penentu ‘kuat’ atau tidak sesebuah pasukan yang bertanding pada ujian rentas halangan. Walau pun latihan dilakukan hari demi hari, namun pada saat penentuan kemenangan hanya dipisahkan oleh pasukan terdahulu yang tiba di garisan penamat dan berjaya melengkapkan cabaran.

Sebab itu juga, mereka yang dipilih menyertai acara ini dianggap sebagai anggota yang lasak dan paling baik dalam pasukan masing-masing. Tiada pasukan yang ingin tewas apabila menyertai acara ini dan tiada pasukan juga yang berani mendabik dada bahawa merekalah yang paling handal untuk membawa pulang gelaran kemenangan.

Sebaik wisel ditiup, setiap ahli dalam pasukan yang bertanding mempunyai satu matlamat iaitu untuk sama-sama memerah keringat melepasi halangan dalam semangat berpasukan paling tinggi untuk melepasi garisan akhir sebagai satu pasukan baik menang atau tidak.

Demikian yang dibuktikan 440 pegawai dan anggota daripada 20 pasukan yang mempamerkan keupayaan masing-masing pada Ujian Rentas Halangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2020 bertempat di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini baru-baru ini ini.

Kesemua pasukan bersaing untuk mencatat masa terpantas semasa melepasi 13 halangan dan menamatkan acara dengan kecekapan menyempurnakan acara tembak piring. Pertandingan lasak yang menguji stamina dan mental para peserta ini menyaksikan semua pasukan yang bertanding mengerah keringat untuk melepasi seterusnya melangkah ke garisan penamat.

Pada akhir pertandingan, gelaran juara berpihak kepada tim Unit Tindak Khas (UTK) dengan mencatat masa 4.54.88 saat bagi mengesahkan kemenangan. Tempat kedua pula milik Briged Sabah (Batalion 16 PGA) diikuti Pusat Latihan PGA ketiga dan Batalion 1 PGA keempat.

Dalam pada itu, johan bagi kategori perseorangan dijuarai oleh Lans Koperal Dexmon daripada Komando 69.

Terdahulu majlis perasmian acara ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Hadir sama Timbalan Pengarah (PGA) KDNKA Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff; Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, komander-komander briged PGA serta pasukan terlibat.

Dalam ucapannya, Acryl Sani berkata, ujian yang merupakan acara tradisi PDRM itu akan dikembalikan sebagai secara tahunan bermula tahun ini selepas kali terakhir penganjurannya iaitu pada 2017.

“Ini merupakan satu daripada tiga acara tradisi lain PDRM iaitu ujian kembara lasak dan latihan pandu arah. Ianya bertujuan menguji ketahanan serta kemampuan fizikal dan mental pegawai dan anggota.

“Elemen kecergasan sangat dititik beratkan khususnya terhadap anggota dari 18 pasukan yang berada di bawah KDNKA sebagai pasukan simpanan kepada Ketua Polis Negara,” katanya. Informasi Tempur

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top